01/10/2025
LAWATAN KERJA HOSPITAL BINTULU, BINTULU PORT DAN YAYASAN KEBAJIKAN NEGARA KE HOSPITAL SEBERANG JAYA, PULAU PINANG.
SEBERANG JAYA, PULAU PINANG - Hospital Bintulu merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, khususnya Pengarah Hospital , YBrs. Dr. Shameni serta seluruh warga kerja atas sambutan mesra bersempena lawatan kerja baru-baru ini.
Banyak ilmu dan pengalaman berharga yang diperolehi semasa sesi lawatan, terutamanya dalam memahami proses pengoperasian Anjung Kasih yang berpotensi membantu keluarga pesakit yang datang dari luar daerah, selain meringankan beban kewangan dan memberi keselesaan sepanjang tempoh rawatan pesakit di hospital.
Selain itu juga, sebagai persediaan bagi menghadapi Pensijilan Hospital Mesra Ibadah (HMI) Hospital Bintulu, Jawatankuasa HMI Hospital Seberang Jaya juga berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman mereka mengenai inisiatif HMI bagi memastikan keperluan ibadah pesakit Muslim dapat dipenuhi dengan selesa, selaras dengan pendekatan holistik dalam rawatan. Di kesempatan yang sama, kedua-dua pihak juga berkongsi pengalaman hospital berstatus akreditasi MSQH (Malaysian Society for Quality in Health) yang menekankan mengenai keselamatan pesakit, kualiti perkhidmatan dan penambahbaikan yang berterusan.
Semasa sesi lawatan, pihak kami berpeluang melawat blok hospital yang baharu yang menjadi mercu tanda kepada peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan untuk komuniti setempat. Sedikit sebanyak, blok baharu Hospital Seberang Jaya ini telah menyuntik semangat dan inspirasi bagi warga Hospital Bintulu untuk terus memperjuangkan permohonan blok baharu di Hospital Bintulu agar mendapat kelulusan dari pihak atasan.
Semoga perkongsian ini memberi inspirasi dan manfaat dalam usaha Hospital Bintulu untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat. 💙