25/07/2024
THE FIGHT AGAINST BIOTERRORISM!
Chemical, Biological, Radiological, Nuclear & Explosives (CBRNe) Terrorism Awareness & Medical Emergency Consequence Management Workshop 2024
KOTA KINABALU: Jabatan Perubatan Kecemasan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) bersama dengan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) mengadakan bengkel “Chemical, Biological, Radiological, Nuclear & Explosives (CBRNe) Terrorism Awareness & Medical Emergency Consequence Management Workshop 2024”, di UMS pada 16-18 Julai 2024.
Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan Dr Mexmollen Marcus selaku wakil urusetia penganjuran UMS telah membuka kata mengalu-alukan kedatangan dif-dif kehormat dan para peserta dari pelbagai agensi seluruh negara
Program yang julung kalinya diadakan di Kota Kinabalu itu antara lain bertujuan untuk memberikan pengenalan asas kepada pelbagai institusi dan agensi di negeri Sabah mengenai bahaya ancaman CBRNe yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia.
Ia juga bagi memulakan inisiatif kerajaan negeri untuk mengorak langkah untuk mengenalpasti sebarang risiko dan juga ancaman CBRNe yang boleh berlaku di negeri ini, sekaligus mewujudkan pelan bencana yang mampan untuk bersedia menangani ancaman tersebut melalui penglibatan kesemua agensi yang menyertai bengkel ini.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Dr Abd Adzim E Arim Sasi, Ketua Kepakaran Perubatan Kecemasan dan Trauma Negeri Sabah.
Menurutnya, bengkel CBRNe ini merupakan salah satu platform utama bagi memberikan ilmu pengetahuan, pendedahan dan juga kemahiran asas kepada petugas kesihatan dalam melakukan fasa respon dalam situasi bencana CBRNE.
Sebagai sebahagian dari kesiapsiagaan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam menangani bencana CBRNE, JKNS telah membuat perancangan awal melalui pelan kontigensi bagi menghadapi ancaman atau bencana CBRNE ini khususnya di Sabah.
“Di samping itu, kakitangan yang dilatih boleh menjadi pelopor kepada pusat latihan CBRNE di rantau ini, khususnya untuk petugas KKM bagi meneruskan keberlangsungan latihan kakitangan di negeri Sabah,” katanya.
Dr Abd Adzim E Arim Sasi turut memaklumkan, pada tahun 2023 sahaja terdapat sebanyak 6 kes CBRNE yang berlaku di Sabah.
Kes terakhir yang berlaku adalah pada bulan November 2023 di Tawau iaitu kejadian keracunan gas klorin Kolam Udang Pegagau Aquaculture di Kampung Wakuba yang telah melibatkan seramai 6 orang mangsa dan seorang terkorban daripada kejadian tersebut.
“Justeru itu, adalah perlu untuk hospital-hospital dan kesihatan awam di negeri Sabah mendalami ilmu CBRNE ini bagi memberi persediaan kepada kakitangan agar lebih bersedia dengan ancaman alaf baru ini,”katanya.
Untuk rekod, program ini dijayakan bersama dengan kerjasama Jabatan Kecemasan Hospital Queen Elizabeth 1, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Southeast Asia Regional Centre for Counter Terrorism (SEARCCT), Jabatan Bomba Negeri Sabah, Jabatan Kimia Negeri Sabah, Malaysian Armed Forces (MAF), Bomb Disposal Unit, Royal Malaysian Police (RMP), dan Atomic Energy Licensing Board (AELB). Sebanyak 250 peserta mewakili perlbagai agensi dari seluruh negeri telah menghadiri bengkel ini.
Hadir sama adalah, Prof Madya Dr Fairrul Kadir, Timbalan Dekan Universiti Malaysia Sabah; En Farhan Sufyan bin Borhan, Timbalan Ketua Bomba Negeri Sabah; Superintendant Yong Thian Foh, Pengarah Bahagian Perancangan Dan Latihan Pencegahan Keganasan (SEARCCT); dan Dr Maria Suleiman, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam).