02/11/2022
Dua orang yg ditahan polis baru-baru ini, akibat melakukan kerosakan kepada kolam deepavali di satu hospital swasta , diharap dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam penyiastan kes tersebut.
Firman Allah SWT dlm surah al an'am ayat 108 , " Dan janganlah kamu memaki sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas, tanpa pengetahuan."
Islam tidak membenarkan umatnya mencaci maki atau mengganggu umat lain dalam perbuatan ibadah atau amal mereka supaya mereka juga akan menghormati serta tidak mengganggu umat Islam dalam menegakkan sistem kehidupan yang menyeluruh.
Di negara yang berbilang bangsa ini, Islam diiktiraf sebagai agama rasmi serta dijamin kedudukannya dalam perlembagaan. Kaum lain serta agama lain, bebas mengamalkan budaya serta agama mereka , sesuai dengan peruntukan undang-undang yang ada.
Perbuatan mengganggu yang dilakukan secara sengaja atau secara gurauan oleh mana-mana pihak , terhadap amalan agama lain, boleh menimbulkan ketidak harmonian sesama masyarakat.
Pada masa yang sama, saya juga melihat sebuah video tiktok, yang menunjukkan satu insiden lama, di mana satu kumpulan pelawat bukan Islam, yang datang melawat sebuah masjid, tetapi tidak menghormati masjid tersebut kerana masuk dengan memakai kasut serta enggan memakai pakaian sopan yang ditetapkan oleh pihak masjid. Ini merupakan satu bentuk sikap tidak menghormati Islam serta tempat ibadah yang ada peraturannya.
Pada pandangan saya, elok juga tempat-tempat ibadah tidak dijadikan tempat lawatan di bahagian dalam, cukuplah melawat di bahagian luar atau perkarangan sahaja.
Oleh kerana Islam dengan aqidah ahli sunnah wal jamaah adalah agama rasmi Malaysia, menjadi kewajipan kita untuk memilih pemimpin yang berpegang kuat dengan Islam sebenar serta tidak bersengkokol dengan mana-mana pihak untuk menghilangkan identiti Islam sebagai agama rasmi.
Pada masa yang sama, pemimpin muslim yang berwibawa, berwawasan tinggi, jujur , amanah dan adil akan juga memastikan kaum serta bangsa lain di malaysia terpelihara hak-hak mereka serta kita semua akan dapat hidup dalam keharmonian , bersama-sama membina negara Malaysia yang maju serta disegani.
Dr. Hjh. Fadilah Ashari
Ketua Wanita BERJASA