17/11/2025
Kadang-kadang… penyesalan itu hadir bukan kerana kita tak mampu,
tetapi kerana kita tak sempat memberi yang terbaik ketika peluang itu terbentang luas.
Haji dan Umrah bukan sekadar perjalanan, ia adalah jemputan ilahi.
Dan ramai jemaah, setelah p**ang, berkongsi tentang 6 penyesalan yang masih mereka rasa hingga hari ini agar orang lain tidak mengulanginya.
Semoga kita mengambil iktibar, sebelum kaki menjejak Tanah Suci.
1. Tidak memperuntukkan waktu beribadah di Masjidil Haram & Masjid Nabawi
Ramai jemaah p**ang dengan hati yang sayu kerana peluang berada di dua masjid paling mulia itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Solat di masjidku ini lebih baik daripada seribu solat di masjid-masjid lain, kecuali Masjid al-Haram."
Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim
Namun ramai yang lebih banyak masa di bilik, di kedai atau berjalan-jalan membeli belah.
Sedangkan setiap sujud di sana adalah sujud yang mungkin tidak dapat diulang selamanya.
2. Tidak bersedia dengan doa khusus & tidak mencari ruang berlama-lama di tempat mustajab doa
Bukan sedikit jemaah yang berkata:
“Kalaulah aku susun doa dari awal… kalaulah aku hafal doa lebih banyak…”
Tempat mustajab doa seperti Raudhah, Multazam, Hijr Ismail, belakang Maqam Ibrahim, ketika tawaf, ketika saei, sewaktu minum zamzam, semuanya membawa kepada pintu langit yang sedang terbuka.
Tetapi tanpa persiapan, kita mudah kekok dan akhirnya peluang itu berlalu begitu sahaja.
3. Tidak membuat jadual untuk membaca al-Quran & zikir
Di Tanah Suci, waktu terasa sangat cepat.
Jika tidak dijadualkan, bacaan Quran dan zikir mudah ditinggalkan.
Rugi besar bila p**ang dan sedar bahawa kita hanya membuka mushaf beberapa kali, sedangkan selepas setiap solat fardhu itu adalah masa paling lembut untuk hati dibasahi ayat-ayat Allah.
4. Tidak memperkuatkan stamina dari Malaysia
Ramai jemaah mengaku bahawa mereka terlalu yakin.
Di Malaysia tidak berjalan jauh, di Tanah Suci barulah terasa lutut longgar, kaki cramp, betis bengkak, badan letih, nafas pendek.
Jika dari awal jaga stamina, ambil suplemen tenaga & imuniti, lengkapkan imunisasi, ibadah seperti tawaf, saei dan wukuf akan terasa ringan. Dan hati lebih khusyuk kerana tubuh tidak terbeban dengan penyakit.
5. Lalai dari ibadah sunat
Ada jemaah merasakan Haji & Umrah cukup dengan yang wajib.
Sedangkan amal sunat adalah hiasan yang menyempurnakan ibadah.
Rugi jika sepanjang ihram tidak memperbanyakkan talbiah.
Rugi jika tidak mengejar solat jenazah, jarang hadir di masjid, atau meninggalkan solat-solat sunat yang mengangkat darjat hamba.
Semua itu memang nampak ringan tetapi nilainya besar.
6. Terlalu leka dengan telefon & sibuk merakam video/foto
Ini antara penyesalan terbesar generasi kini.
Ada yang bertawaf sambil memegang telefon.
Ada yang saei sambil merakam.
Ada yang selepas miqat lebih sibuk dengan media sosial, update sana sini daripada hati yang sepatutnya tunduk kepada Allah.
Hakikatnya, gambar boleh diambil di waktu lain & disimpan, tetapi kekhusyukan yang hilang tidak akan kembali.
------------
Penyesalan yang selalu diceritakan oleh para jemaah ini bukan untuk menakutkan,
tetapi sebagai peringatan supaya kita sempat mempersiapkan jiwa, tubuh dan masa sebelum tiba jemputan agung itu.
Semoga kita menjadi tetamu Allah yang datang dengan hati yang siap, berangkat dengan tubuh yang kuat dan kembali dengan jiwa yang lebih tenang, lebih bersih dan lebih hampir kepada-Nya.
اللهم ارزقنا حجًا مبرورًا وذنبًا مغفورًا
Ya Allah, kurniakan kami haji yang mabrur dan dosa yang diampunkan.