25/08/2021
Admin nak share sikit pasal property malam ni, bacaan sambil-sambil berehat sebelum beradu..
RUMAH PERTAMA: SEWA DULU ATAU TERUS BELI
Ramai di luar sana contohnya graduan muda atau pasangan yang baru kahwin yang excited untuk memiliki rumah pertama. Sebab terpengaruh dengan kata-kata “kalau layak beli, buat apa nak sewa”…”sampai bila nak menyewa, beli lah rumah sendiri”.
Bergantung kepada senario di bawah:
BILA NAK SEWA DULU
Senario pertama:
Kalau tak tahu langsung tentang selok belok hartanah, istilah-istilah dalam hartanah, ELAKKAN daripada beli, baik sewa dulu dan belajar dulu mengenai selok belok hartanah.
Senario kedua:
Dah ada ilmu dalam hartanah. Katakan anda dah target untuk satu rumah di lokasi yang anda minat. Sewa dulu di kawasan itu untuk tempoh 6 bulan. Sebab apa? Kalau kita nak kahwin dengan gadis idaman, mesti kenal dulu orangnya macamana, bakal mentua dan ahli keluarga ipar duai ok ke. Bila betul-betul kenal baru masuk merisik seterusnya meminang.
Sama macam rumah juga, kena tahu kawasan tu: Keadaan trafik ke tempat kerja ok ke? Berapa kos petrol dan tol ke tempat kerja? Kejiranan ok ke?
Kaji situasi tak terduga..contohnya hujan lebat banjir kilat, atau setiap kali hujan keluar bau daripada loji pembentungan atau kawasan keras?
Jadi, 6 bulan tu penting untuk kenal dulu kawasan tu, kalau terus beli tiba-tiba rasa tak seronok tinggal kat kawasan tu akan rasa rugi p**ak nak nak jual.
Seterusnya, berdasarkan senario kedua. Bila kita dah betul-betul jatuh cinta dengan kawasan tu, buat kira-kira dulu. Kalau kos sewa kurang daripada 50% bayaran bulanan bank, teruskanlah menyewa.
Contoh: Bayaran bulanan bank = RM3200, kalau sewa RM1500. (RM1500/RM3200 * 100% = 34%). Signal 34% < 50% menunjukkan sewa lebih baik daripada beli.
BILA NAK BELI
Senario pertama:
Dah mantap ilmu hartanah, faham istilah-istilah, dan risiko dalam hartanah. Tahu rumah apa dan lokasi mana nak beli. Sudah ada simpanan sekurang-kurangnya 15% daripada harga rumah yang nak dibeli. Contohnya kalau harga rumah RM500k, perlu ada simpanan sekurang-kurangnya RM75k.
Senario kedua:
Jika kos sewa rumah sekurang-kurangnya 70% daripada bayaran bulanan bank.
Contoh: Sewa RM2000, kalau beli dan bayar bulanan bank RM2500 (RM2000/RM2500 * 100% = 80%). Signal 80% > 70% menunjukkan boleh beli. Beza sikit je antara sewa dan beli, berbanding senario sebelum ini.
Tambahan:
Kelebihan menyewa: Sewa tidak dikira sebagai komitmen masa bank nak kira DSR dan jumlah kelayakan pinjaman. Maknanya DSR tak terjejas.
Kelebihan membeli (untuk pelaburan): Bila beli rumah yang tepat sebab ada ilmu, bila disewakan beserta perjanjian sewa (TA), pendapatan sewa akan diambil kira masa bank nak kira DSR.
*DISCLAIMER* Ini hanya pandangan peribadi penulis, tak salah kalau kawan-kawan ada pandangan berbeza.