26/10/2025
Bagaimana Nabi Musa Selamat?
Menurut al-Suddi, Firaun telah bermimpi bahawa dia dan kerajaannya akan dimusnahkan dengan kelahiran seorang bayi lelaki. Al-Suddi meriwayatkan dari beberapa orang sahabat:
أَنَّ فِرْعَوْنَ رَأَى فِي مَنَامِهِ كَأَنَّ نَارًا قَدْ أَقْبَلَتْ مِنْ نَحْوِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ فَأَحْرَقَتْ دُورَ مِصْرَ وَجَمِيعَ الْقِبْطِ، وَلَمْ تَضُرَّ بَنِي إِسْرَائِيلَ.
“Sesungguhnya Firaun melihat dalam mimpinya seolah-olah ada api datang dari arah Baitul Maqdis, lalu membakar rumah-rumah di Mesir dan seluruh kaum Qibti, tetapi tidak mencederakan Bani Israil.” (al-Bidayah wa al-Nihayah)
🌙 Tafsiran mimpi si Tukang Tilik
Mimpi ini ditafsirkan oleh tukang tilik nasib Firaun bahawa akan lahir seorang bayi lelaki yang akan memusnahkan kerajaannya. Lantas Firaun memerintahkan agar semua bayi lelaki dari Bani Israel dibunuh. Namun, apabila semua lelaki dibunuh, ia menimbulkan kesan yang lain iaitu kekurangan lelaki yang akan menjalankan kerja-kerja keras bagi pihak Qibti.
Selama ini kerja-kerja berat banyak dilakukan oleh Bani Israel. Kekurangan lelaki dari kalangan mereka menyebabkan kaum Qibti bimbang bahawa mereka akan terpaksa menggantikan Bani Israel untuk melakukan kerja-kerja berat.
⚔️ Bayi Lelaki Dibunuh!
Di sinilah timbulnya cadangan agar dibunuh bayi lelaki setahun dan dilepaskan setahun agar masih kekal pertumbuhan populasi kaum lelaki dari Bani Israel. Kata Ibn Kathir:
فأمر فرعون بقتل الأبناء عاما ، وأن يتركوا عاما ، فولد هارون ، عليه السلام ، في عام المسامحة عن قتل الأبناء ، وولد موسى ، عليه السلام ، في عام قتلهم ، فضاقت أمه به ذرعا
Lalu Firaun memerintahkan agar dibunuh bayi lelaki setahun dan dilepaskan setahun. Nabi Harun dilahirkan pada tahun bayi tidak dibunuh sedangkan Nabi Musa lahir pada tahun bayi lelaki dibunuh. Ini menyebabkan ibu Nabi Musa sangat takut.” (al-Bidayah wa al-Nihayah)
Lalu Allah memberikan ilham kepada ibu Nabi Musa agar menghanyutkan Nabi Musa di dalam sungai seperti yang diceritakan di dalam al-Quran:
وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰٓ أُمِّ مُوسَىٰٓ أَنْ أَرْضِعِيهِ ۖ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِى ٱلْيَمِّ وَلَا تَخَافِى وَلَا تَحْزَنِىٓ ۖ إِنَّا رَآدُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ
Begitulah bagaimana Allah menyusun segalanya sehingga menyebabkan segala rancangan yang disusun rapi itu kembali kepada seperti yang dikehendaki oleh Allah.