06/04/2026
LAWATAN KERJA KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN KESIHATAN DAN SAMBUTAN AIDILFITRI ERATKAN UKHUWAH WARGA HTD
GEMAS, 3 April 2026 – Satu lawatan kerja rasmi oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan (KPPK), Yang Berbahagia Leftenan Jeneral Dato’ (Dr) Zulkeffeli bin Mat Jusoh ke Hospital Tentera Darat (HTD) telah dilaksanakan dengan jayanya pada hari ini.
Lawatan ini membawa pengertian yang amat bermakna kerana ia merupakan inisiatif dan hasrat peribadi Yang Berbahagia KPPK untuk turun padang menyantuni warga Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT). Menjelang tarikh persaraan beliau yang semakin hampir, platform sebegini dimanfaatkan sepenuhnya untuk bersemuka, menyampaikan amanat, dan merakamkan penghargaan atas dedikasi seluruh anggota di bawah naungan Kor Kesihatan Diraja (KKD).
Mengambil keberkatan bulan Syawal, pihak HTD turut mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri secara serentak. Majlis yang menghimpunkan seluruh warga PKAT yang berkhidmat di Kem Syed Sirajuddin ini bertujuan untuk memperkasakan lagi semangat _esprit de corps_, mengeratkan silaturrahim, serta mengukuhkan jalinan kerjasama sesama warga pasukan.
Majlis sambutan tersebut telah diserikan lagi dengan kehadiran Yang Berbahagia KPPK bersama-sama barisan kepimpinan tertinggi yang lain. Sepanjang majlis berlangsung, Yang Berbahagia Leftenan Jeneral Dato’ (Dr) Zulkeffeli telah meluangkan masa beramah mesra dan menyantuni para pegawai, anggota Lain-Lain Pangkat (LLP), serta kakitangan awam, sekali gus meninggalkan kenangan manis buat seluruh warga PKAT di Kem Syed Sirajuddin.