25/12/2025
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan Program Berkhatan yang berlangsung pada 22 hingga 24 Disember 2025 bertempat di Pusat Latihan Berkhatan Negeri Johor.
Program ini merupakan julung kali dianjurkan selepas perasmian pusat tersebut pada 14 Disember 2025 yang lalu. Walaupun baru bertatih, namun langkah yang diorak ini jelas membuktikan kesungguhan dan komitmen tinggi dalam mengurus serta melaksanakan program berkhatan untuk anak-anak staf dan masyarakat awam yang kurang berkemampuan.
Sepanjang program ini berlangsung, seramai 108 orang kanak-kanak telah berjaya dikhatankan hasil kerjasama berpasukan yang mantap melibatkan 2 orang Pegawai Perubatan, 18 orang Penolong Pegawai Perubatan serta 15 orang petugas sokongan. Kecekapan, profesionalisme dan semangat khidmat bakti yang ditunjukkan amat membanggakan.
Program ini turut diserikan dengan lawatan julung kali Ahli Lembaga Pelawat HSAJB yang diiringi oleh barisan kepimpinan hospital, diketuai oleh Dr. Mohd Nizam bin Haji Subahir, Pengarah Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Lawatan selama hampir 30 minit tersebut telah memberi peluang kepada pihak pengurusan untuk meninjau operasi pusat berkhatan serta menyantuni kanak-kanak dan para petugas. Suasana yang ceria dan penuh kegembiraan jelas terpancar hasil kunjungan yang amat bermakna ini.
Sesungguhnya, kejayaan program ini adalah hasil kerjasama, pengorbanan masa dan tenaga, serta iltizam semua pihak yang terlibat. Semoga usaha murni ini menjadi pemangkin kepada penganjuran program-program yang lebih besar dan berimpak tinggi pada masa akan datang.
Akhir kata, jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Semoga segala jasa dan sumbangan ini diberkati serta menjadi amal kebajikan yang berpanjangan.
Sekian, terima kasih.