25/09/2020
Sistem Persekutuan lebih berfungsi jika Sarawak dan Sabah diberi lebih satu pertiga kerusi Dewan Rakyat
GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) mahu kerusi untuk Sarawak dan Sabah ditambah menjadikannya lebih satu pertiga bilangan dalam Dewan Rakyat.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pada masa ini Sabah dan Sarawak diberi kurang daripada satu pertiga di Dewan Rakyat.
"Kita mahu Sarawak dan Sabah harus diwakili lebih daripada satu pertiga dalam parlimen.
"Jika kerajaan persekutuan mahu meminda Perlembagaan mereka juga mesti mendapat sokongan Sabah dan Sarawak," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini, hari ini.
Katanya ia merupakan antara yang dicadangkan Sarawak kepada Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC).
Tambah Abang Johari, apabila Sabah dan Sarawak mempunyai satu pertiga daripada kerusi Parlimen, doktrin persekutuan akan benar-benar berfungsi.
"Biasanya, jika mereka meminda Perlembagaan, ia hanya memberi kesan kepada Semenanjung Malaysia, yang secara demokratiknya tidak betul.
"Sabah dan Sarawak mesti mempunyai lebih daripada satu pertiga," katanya.
ERC ditubuhkan pada Ogos 2018 dan diberi dua tahun masa untuk mengemuka laporan komprensif mengandungi cadangan pembaikan sistem undang-undang.
Jawatankuasa dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Sementara itu mengulas mengenai Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi bersama Semenanjung Malaysia akan dibentangkan semula di Dewan Rakyat pada Mac 2020, Abang Johari menegaskan Sarawak kekal dengan pendirian seperti sebelum ini.
Katanya, Sarawak memberi jaminan akan menyokong pindaan yang dicadangkan termasuk Pindaan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan dengan syarat pindaan itu harus berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Kita akan sokong pindaan jika kedua-dua perkara berkenaan termasuk dengan syarat ia termaktub dalam MA63. Kunci utamanya adalah MA63," tegasnya. - UB