04/12/2025
FAQ: Telur Lalat Pada Makanan
1. Saya nampak bintik putih kecil pada lauk. Itu telur lalat ke?
Ya, bintik putih berderet dan lembut memang sering tanda telur lalat. Bila nampak begitu, rasa geli dan cuak itu normal. Dalam kepala mula terfikir, “Aku dah termakan ke belum…?”
2. Kalau termakan telur lalat sahaja, terus keracunan tak?
Tidak. Telur lalat sendiri tidak beracun. Pada peringkat telur, ia belum cukup untuk sebabkan keracunan. Kebanyakan masa, asid perut akan hadam dan keluarkan semula tanpa kita sedar. Yang bahaya biasanya bukan telur itu.
3. Jadi, apa yang sebenarnya bahaya?
Bahaya datang daripada lalat itu sendiri. Bila ia hinggap, lalat bawa bakteria dari tempat kotor seperti najis, longkang, dan tong sampah. Bakteria seperti E. coli dan Salmonella boleh berpindah ke makanan. Lalat juga tinggalkan najis mikro dan sedikit muntahan untuk cairkan makanan. Semua ini boleh menyebabkan keracunan makanan.
4. Bila makanan ada gugusan telur, apa maksudnya?
Itu tanda makanan sudah lama terdedah. Lalat bukan singgah sekali. Ia datang berkali kali. Makin banyak telur, makin lama makanan itu tidak selamat dimakan walaupun rupa masih elok.
5. Apa jadi kalau makan makanan yang sudah dicemari lalat?
Selepas beberapa jam, bakteria dalam makanan mula menghasilkan toksin. Barulah muncul simptom seperti muntah, cirit-birit, perut memulas, pening, dan badan lemah. Jadi, punca keracunan ialah bakteria, bukan telur.
6. Betulkah telur lalat boleh menetas dalam perut?
Tidak. Telur lalat perlukan udara dan permukaan untuk menetas. Dalam perut, asid sangat kuat dan akan musnahkan telur atau larva. Ia tidak boleh hidup atau membesar dalam tubuh manusia.
7. Kalau telur lalat hanya ada di hujung ayam, boleh potong bahagian itu dan makan bahagian lain?
Tidak disarankan. Bila telur sudah kelihatan pada satu bahagian, lalat sudah pasti berjalan pada bahagian-bahagian lain juga. Bakteria boleh merebak melalui minyak, wap, dan kuah. Seluruh ketul ayam dianggap berisiko.
8. Kalau makanan bersos pekat, seperti kari atau sambal, bagaimana?
Risikonya lebih tinggi. Sos pekat mudah memerangkap bakteria. Jika telur lalat ada di satu tempat, kuah di sekeliling juga boleh tercemar. Dalam keadaan begini, satu pinggan itu tidak lagi selamat.
9. Jadi… betapa bahaya sebenarnya kalau tertelan satu dua telur lalat tanpa sedar?
Jika tiada pencemaran lain, ia biasanya tidak terus memudaratkan. Namun jika telur hadir kerana makanan sudah lama terdedah, bakteria yang ditinggalkan lalat itu yang membahayakan. Terutama pada kanak-kanak, warga emas, dan individu yang kurang sihat.
10. Kenapa lebih baik buang saja makanan yang diragui?
Kerana kesihatan jauh lebih bernilai daripada satu hidangan. Kadang kita sayang untuk membuang, tetapi risiko keracunan jauh lebih besar. Bila mata sudah nampak telur lalat, itu tanda jelas untuk berhenti dan jaga diri.
Sumber : Public Health Malaysia