07/03/2026
Doktor ni jahil sangat ke pasal statin?
Antara isu kesihatan yang banyak didebatkan sekarang adalah berkaitan penggunaan statin. Ramai yang kata statin ini hanyalah ciptaan syarikat farmaseutikal untuk jual ubat mereka. Tak bawa manfaat, tapi hanya mendatangkan kesan sampingan yang memudaratkan.
Tapi tahu tak tuan puan kenapa statin masuk dalam garis panduan klinikal?
1. The 4S trial - penggunaan statin ke atas pesakit jantung dengan kolesterol yang tinggi menunjukkan pengurangan kadar kematian akibat serangan jantung setinggi 40%.
2. The Heart Protection Study - kajian terhadap lebih 20000 pesakit berisiko tinggi menunjukkan walaupun kadar kolesterol adalah normal, statin mengurangkan risiko serangan jantung dan stroke jika pesakit mempunyai risiko lain seperti diabetes dan masalah jantung terdahulu.
3. The JUPITER trial - kajian terhadap manusia dengan kadar kolesterol yang normal, tetapi mempunyai kadar keradangan yang tinggi. Statin mengurangkan risiko serangan jantung setinggi 50%.
Selain itu, terdapat puluhan kajian meta analisis lain yang menyokong penggunaan statin dalam pelbagai indikasi.
Sebenarnya, statin bukan sekadar mengurangkan kadar kolesterol di dalam badan. Ia juga mengurangkan keradangan di dalam saluran darah. Ia juga menstabilkan pembentukan plak dalam saluran darah yang boleh menyebabkan saluran darah tersumbat.
Namun begitu, tidak dinafikan terdapat beberapa risiko kesan sampingan. Antara yang paling utama adalah muscle pain ataupun sakit otot. Ia berlaku dalam segelintir pesakit. Di sinilah doktor akan menilai tahap manfaat dan risiko secara individu.
Praktis terkini berkaitan statin bukanlah bermaksud doktor akan mempreskrib statin semata-mata nilai bacaan kolesterol yang tinggi.
Kebanyakan doktor akan menilai dengan lebih holistik menggunakan Cardiovascular Risk Calculator seperti PREVENT dan QRISK3. Penilaian secara perkiraan matematik ini menilai kebarangkalian seseorang pesakit mengalami serangan jantung major atau stroke dalam tempoh 10 tahun kehadapan.
Ia menilai pelbagai risiko seperti bangsa, jantina, umur, tekanan darah, bacaan kolesterol, gula, status merokok, gaya hidup dan sebagainya. Sekiranya risiko pada kadar yang rendah, walaupun bacaan kolesterol adalah tinggi, statin tidak dimulakan.
Jadi kepada kawan-kawan, jangan mudah terpengaruh dengan apa yang anda dengar tentang statin. Jumpa dan dapatkan nasihat dari pakar yang merawat anda.
Fahmi Hassan, PhD
Pharmacist