29/11/2021
اللهم اغفر له. و ارحمه. الفاتحة. أمين.
Hari ini genap 59 tahun pemergian Tuan Guru Haji Harun Kadok ke hadrat ilahi.
Manaqib beliau :
Tuan Guru Haji Harun Kadok ( 1898 - 1962 )
Oleh : Tengku Yusuff
Nama penuh tokoh guru agama ini ialah Tuan Guru Haji Harun Bin Awang Bin Abu Bakar dan beliau dilahirkan di Kampung Tepi Sungai, Padang Kedondong, Ketereh, Kelantan pada tahun 1898. Ayahnya bernama Haji Awang atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Awang manakala ibunya bernama Siti Aishah.
Keturunan sebelah ayahnya berasal dari Indonesia manakala dari sebelah ibunya p**a masyarakat tempatan. Pasangan ini dikurniakan 9 orang anak, Tuan Guru Haji Harun merupakan anak lelaki kedua dari 4 orang adik beradik lelaki.
Adik beradik lelakinya yang lain ialah :
1. Tuan Guru Haji Uthman Bin Awang @ Haji Saman (1886-1939) - guru pondok Batu 10, Kadok
2. Tuan Guru Haji Nuh Bin Awang
3. Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Awang
Beliau mendapat pendidikan awal dari ayahnya di dalam ilmu asas agama. Sekitar tahun 1912, beliau dihantar menuntut ilmu di Patani dengan memasuki Pondok Chaok. Selepas 6 tahun di sana, Tuan Guru Haji Harun p**ang ke Kelantan sekitar tahun 1918 dan meneruskan pengajiannya dengan beberapa alim ulama' tersohor pada ketika itu. Akhirnya beliau berangkat ke Mekah sekitar tahun 1926.
Di antara guru-gurunya ialah:
1. Tok Chaok
2. Tok Bachok
3. Tok Kenali
4. Tok Selehor
5. Tok Ayah Kedah
Beliau p**ang ke tanah air selepas 13 tahun mengaji di Mekah iaitu pada tahun 1939 lalu membina sebuah surau bersebelahan dengan rumahnya. Surau ini bersambung terus ke arah rumah beliau agar memudahkan pergerakannya keluar masuk mengajar.
Di antara anak muridnya ialah :
1. Tuan Guru Haji Muhammad Zain Bin Abdullah
2. Tuan Guru Haji Ismail Kadok - menantunya
3. Wak Harun
4. Tok Manap
5. Tok Jusoh
Tuan Guru Haji Harun adalah seorang yang bermulut masin dan dikurniakan beberapa karomah. Pernah suatu hari, ada pencuri yang ingin mencuri lembunya. Namun pencuri itu tidak dapat lari dan dia terkapai-kapai di atas tanah. Selepas berjumpa dengan Tuan Guru Haji Harun dan ditanya mengapa, pencuri itu menjawab, dia tidak dapat lari kerana dikelilingi air. Terkapai-kapai itu sebab dia cuba menyelamatkan diri.
Beliau meninggal dunia pada 28 November 1962 ketika berusia 64 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pak Su Haji Ya, Kadok, Kota Bharu.
Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin
* Sumber - Majalah Pengasuh bilangan 665 & 666 *
Al-Fatihah Untuk Moyang Saya Tuan Guru Haji Harun Kadok & Atok Saya Tuan Guru Haji Muhammad Zain Bin Abdullah.
- CC:- Muhammad Naufal Bin Muhammad Nazmi (Cicit) -