08/03/2026
PENGASIH Malaysia dan PROFIMA Meterai Surat Hasrat Kerjasama
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pengasih Malaysia (PENGASIH) telah menandatangani Surat Hasrat kerjasama bersama Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia (PROFIMA) dalam satu majlis yang berlangsung sempena Majlis Iftar Ramadan dan Hari Kru Filem Malaysia 2026 pada 3 Mac 2026 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ulu Kelang.
Majlis tersebut menghimpunkan para penggiat industri perfileman tempatan, wakil agensi kerajaan serta organisasi masyarakat yang berkaitan dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara pelbagai pihak. Surat Hasrat tersebut telah disampaikan oleh Presiden PROFIMA, En. Khalil Hj Salleh, dan disaksikan oleh Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi.
Melalui pemeteraian Surat Hasrat ini, kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama yang memberi manfaat kepada komuniti pekerja industri kreatif, khususnya dalam aspek kebajikan, sokongan komuniti serta program kesedaran berkaitan kesejahteraan sosial. Kerjasama ini juga dilihat sebagai platform penting untuk memperluas jaringan sokongan kepada individu yang memerlukan bimbingan serta pemulihan, selari dengan usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
PENGASIH Malaysia yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pemulihan dan sokongan komuniti terus komited untuk bekerjasama dengan pelbagai sektor bagi memperluaskan impak program-program yang dilaksanakan. Melalui kerjasama dengan PROFIMA, kedua-dua organisasi berpeluang untuk berkongsi kepakaran serta sumber dalam menjayakan pelbagai inisiatif yang memberi nilai tambah kepada komuniti pekerja industri perfileman.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan sempena bulan Ramadan itu turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara penggiat industri filem serta rakan-rakan strategik yang hadir. Program tersebut bukan sahaja meraikan sumbangan kru filem Malaysia, malah memperkukuh semangat kebersamaan dalam membangunkan industri kreatif negara.
Pemeteraian Surat Hasrat ini diharapkan menjadi langkah awal kepada kerjasama yang lebih luas antara PENGASIH Malaysia dan PROFIMA pada masa akan datang, khususnya dalam usaha membina persekitaran industri yang lebih sihat, inklusif dan sejahtera bagi semua pihak yang terlibat.