11/12/2025
Melaka, 9 Disember 2025 â Bengkel Semakan Semula Perjanjian Konsesi bagi Projek Pembangunan Sistem Next Generation Emergency Services 999 (NG999) telah bermula hari ini di Hatten Hotel, Melaka dan akan berlangsung sehingga 13 Disember 2025. Program lima hari ini bertujuan menilai semula perjanjian konsesi sedia ada bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan sistem NG999 yang lebih efisien, moden dan selaras dengan keperluan semasa negara.
Bengkel ini melibatkan penyertaan pelbagai agensi utama termasuk Kementerian Komunikasi, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara (AGC) serta TM Technology Services Sdn. Bhd. (TM Tech). Melalui sesi perbincangan teknikal dan semakan dokumen konsesi, semua pihak berkepentingan menilai aspek operasi, kewangan, perundangan dan teknologi yang berkaitan dengan pelaksanaan sistem NG999.
Projek NG999 merupakan inisiatif nasional yang penting dalam mempertingkat keberkesanan pengurusan panggilan kecemasan di Malaysia dengan penggunaan teknologi generasi baharu, termasuk integrasi data, multimedia, geolokasi dan pengurusan maklumat masa nyata. Semakan semula perjanjian konsesi ini dijangka memastikan projek terus berjalan lancar serta memenuhi standard perkhidmatan kecemasan yang lebih tinggi untuk rakyat.
Bengkel ini juga membuka ruang kepada semua pihak untuk menyelaras hala tuju, mengenal pasti keperluan penambahbaikan dan memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan serta pihak penyedia perkhidmatan. Hasil bengkel akan dikemukakan sebagai asas kepada penambahbaikan dokumen konsesi bagi memantapkan lagi pelaksanaan NG999 pada fasa seterusnya.