11/06/2019
Sedih sebenarnya dengan nasib orang asli di Kuala Koh Gua Musang. Setakat hari ini 2 nyawa melayang sementara 12 lagi sedang menunggu pengesahan dipercayai berpunca dari jangkitan pada paru-paru. Puluhan dari mereka sedang dirawat. Mungkin perasaan ini datang kerana pernah bergaul dan mendidik anak-anak orang asli sewaktu bertugas di Felda Sungai Koyan dan juga di SK Bandar Anggerik.
Teringat peristiwa cemas sewaktu bertugas di Sungai Koyan. Kami pernah hilang berbelas orang murid orang asli secara tiba-tiba pada waktu sekolah. Rupa-rupanya mereka lari menyorok di bawah kolong saluran air beramai-ramai. Mujur tidak berlaku apa-apa yang serius.
Memandikan mereka pada waktu pagi sebelum masuk ke bilik darjah menjadi rutin guru-guru di SK ( LKTP ) Sungai Koyan pada waktu itu. Pakaian sekolah yang bersih memang siap diurus oleh guru yang bertugas untuk memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik sepanjang sesi persekolahan. Saya percaya program sebegini banyak dilaksanakan di sekolah-sekolah orang asli yang lain yang terdapat di Malaysia. Ini adalah antara cakna kita terhadap saudara senegara kita yang mendiam di tanah tercinta ini.
Dalam aspek pendidikan sebenarnya pelbagai inisiatif telah dibuat untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat orang asli. Terdapat kira-kira 38 ribu murid orang asli yang berada dalam sistem pendidikan di Malaysia. Mereka ini berada di sekolah rendah, menengah dan juga di Sekolah Model Khas komprehensif 9; sekolah khas yang dibina di luar bandar dan kawasan pedalaman khusus untuk mengatasi masalah keciciran di kalangan murid orang asli. Ini termasuklah dengan Pendidikan asas vokasional yang diperkenalkan di 4 buah Sekolah Komprehensif 9 ini.
Dalam meraikan murid -murid Orang asli ini juga ada inisiatif sebelum ini untuk menyelaraskan semula kurikulum khusus untuk murid orang asli dengan kurikulum sedia ada bagi membolehkan proses pembelajaran dan interaksi yang lebih positif antara murid dan sekolah. Saya tidak pasti sejauh mana Program Intervensi Khas murid orang asli dan peribumi (PIKAP) ini direalisasikan kerana tidak ada laporan yang dikeluarkan pada tahun 2018.
Laporan pendidikan 2017 jelas menunjukkan penurunan peratus lulus murid orang asli di tahun 6. Ini menunjukkan betapa mereka masih bergelut dengan isu asas untuk menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Meskipun demikian, ramai juga dikalangan mereka yang beroleh pencapaian cemerlang dan melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.
Program Kelas Dewasa Orang Asli dan Penan ( KEDAP) juga merupakan program dibawah KPM yang sekian lama dilaksanakan dalam usaha untuk merubah masa depan orang asli dan peribumi di Sabah dan Sarawak. Dilaksanakan di lebih 70 buah sekolah dengan bilangan murid dewasa seramai 1825 orang.
Meskipun sekian banyak program dan inisiatif ke atas mereka ianya masih sukar bagi mereka untuk beradaptasi dan menyesuaikan diri. Tidak menyalahkan mereka kerana jika kita pernah duduk dan bergaul dengan mereka pasti kita akan memahami konflik dan dilema mereka.
Saya amat mengkagumi rakan-rakan guru yang sanggup berkhidmat di sekolah -sekolah orang asli. Mereka ini bagi saya merupakan guru-guru hebat yang sanggup meletakkan diri dalam situasi sukar dan mencabar untuk menyampaikan misi dan visi pendidikan. Bukan satu perkara yang mudah. Untuk sampai kesekolahnya sahaja sudah cukup mencabar, belum lagi usaha mengumpul, mencari dan mengepung anak-anak orang asli ini untuk hadir ke sekolah.
Berita hari ini melaporkan pencemaran air mungkin menjadi punca malapetaka tersebut. Dipercayai air yang diminum mereka dicemari oleh bahan berbahaya punca berpunca dari perlombongan Manganese. Meskipun ini jauh sekali dengan pengesahan awal punca kematian mereka iaitu jangkitan paru-paru yang diumumkan oleh Ketua Polis dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P Waytha Moorthy.
Sebagai rakyat biasa, saya berharap agar isu ini disiasat dengan sebaik mungkin dan telus demi kebaikan masyarakat orang asli di sana. Jauhkan sandiwara politik atau aksi drama kapitalis yang bersifat menangguk di air keruh. Nyawa manusia tetap tiada galang gantinya.
Asmadi Abdul Samad
Bukan tiruan.
Gambar hiasan