13/11/2025
12 November 2025 - Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menerima kehadiran YBhg. Dato’ Dr Hajah Kasemani binti Embong, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, sempena Jelajah Kempen “Menangani Cabaran, Melakar Kejayaan: Satu Perjalanan”.
Dalam suasana santai tetapi penuh bermakna, warga HSNZ dibawa menyusuri sebahagian perjalanan kerjaya beliau daripada Houseman Officer di HSNZ, berkhidmat di lapangan, menguruskan wabak dan pandemik, sehinggalah menggalas amanah memimpin JKN Terengganu.
YBhg. Dato’ berkongsi bahawa setiap cabaran yang ditempuh bukan sekadar ujian, tetapi latihan membina keteguhan hati. Beliau menekankan bahawa pemimpin bukan hanya memberi arahan, tetapi membimbing, memudahkan urusan dan mendengar dengan hati. Integriti, akhlak kepimpinan, sikap ihsan serta kemampuan melihat kebaikan orang sekeliling menjadi antara prinsip yang beliau tekankan dalam ucapannya.
Majlis turut menyerlahkan komitmen jabatan di HSNZ dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Jabatan Obstetrik & Ginekologi (O&G) diumumkan sebagai Jabatan Mesra Pelanggan tempat pertama, manakala Jabatan Oftalmologi menerima pengiktirafan tempat kedua. Penghargaan ini merupakan tanda terima kasih kepada pasukan yang konsisten menjaga layanan, komunikasi dan pengalaman pesakit di jabatan masing-masing.
Sebagai kemuncak, HSNZ menyampaikan Anugerah Suri Teladan 3S kepada YBhg. Dato’ Dr Kasemani sebagai tanda penghargaan terhadap kepimpinan beliau yang tegas tetapi lembut, berprinsip tetapi penuh empati.
Semoga semangat “Menangani Cabaran, Melakar Kejayaan” terus menyala dalam diri setiap warga HSNZ dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Kasemani Embong
JABATAN KESIHATAN NEGERI TERENGGANU