18/11/2025
Kebiasaannya, pada hujung tahun khususnya musim cuti sekolah dan musim tengkujuh, bekalan darah akan berkurangan kerana kurangnya penderma datang menderma pada musim begini.
Ini kerana kita tahu apabila musim cuti sekolah yang panjang, ramai yang akan balik kampung, bercuti dalam atau luar negara, atau aktiviti lain yang menyebabkan kesibukkan kita ini kadangkala menyebabkan kita terlupa untuk menderma darah.
Walau bagaimanapun, permintaan terhadap bekalan darah ini tidak pernah berkurangan. Lebih-lebih lagi penghujung tahun adalah musim tengkujuh dan ada negeri yang dilanda banjir, ini lagi menyukarkan penderma untuk datang menderma dan keperluan darah mungkin akan meningkat.
Oleh itu, pihak kami menyeru agar orang ramai yang berkelayakan tampil untuk menderma dan jalankan tanggungjawab sosial anda membantu mereka yang memerlukan kerana โdarah tak pernah cutiโ.
Monsun Timur Laut Telah Tiba
Monsun Timur Laut telah bermula pada 13 November 2025 dan dijangka akan berterusan sehingga Mac 2026. Hujan lebat berterusan akan mengakibatkan beberapa buah negeri dilanda bencana banjir. Rakyat Malaysia diminta untuk sentiasa berwaspada dan mengelakkan diri dan keluarga daripada mengunjungi kawasan yang berisiko.
PDN juga menyeru kepada semua penderma darah yang budiman untuk hadir menderma darah di lokasi pendermaan darah yang tidak terjejas dengan bencana banjir. Usaha ini penting bagi memastikan stok darah sentiasa berada pada paras selamat serta mencukupi untuk semua pesakit yang memerlukan.
Ayuh derma darah hari ini bagi kesiapsiagaan tabung darah dalam menghadapi Monsun Timur Laut sekiranya mobilisasi darah diperlukan ke lokasi yang terjejas banjir.
Layari laman sesawang PDN di www.pdn.gov.my untuk maklumat lanjut mengenai pendermaan darah dan lokasi menderma darah yang terkini.