16/12/2025
[ AL-KAFI LI AL-FATAWI: APAKAH MAKSUD AYAT "JANGAN DEKATI ZINA" ]
Soalan:
Apakah maksud sebenar larangan Allah dalam al-Quran yang menyebut "Janganlah kamu mendekati zina?" Adakah ia terhad kepada perbuatan zina semata-mata, atau turut merangkumi bentuk-bentuk maksiat yang lain? Selain itu, adakah perbuatan homoseksual tergolong dalam kategori zina menurut perspektif Islam?
Jawapan:
Daripada Abu Hurairah, dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah telah menetapkan bahagian zina bagi setiap anak Adam yang tidak dapat dielakkan, di mana zina mata melalui pandangan, zina lidah melalui ucapan, zina hati melalui bayangan dan rasa syahwat, manakala kemaluan menjadi penentu yang mengesahkan atau menolak perbuatan tersebut.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَاحِشَةً وَسَآءَ سَبِيلًا
Maksudnya: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan."
(Surah Al-Isra’ 17: 32)
Menurut Tafsir Ibn Kathir (Jilid 5, hal. 72), ayat ini menegaskan larangan yang kuat berkenaan zina seperti berikut:
- Allah melarang mendekati zina, bukan hanya perbuatan zina itu sendiri. Larangan ini merangkumi perkara yang membawa kepada zina seperti interaksi yang menggoda, pandangan tanpa batas, pergaulan bebas dan khalwat.
- Zina adalah dosa besar dan perbuatan keji, sebagaimana firman-Nya "Sesungguhnya ia adalah suatu perbuatan keji," yang menunjukkan bahawa ia merosakkan maruah dan nilai masyarakat.
- Zina adalah jalan yang buruk, berdasarkan ayat "Dan satu jalan yang sangat buruk," yang membawa kepada keruntuhan akhlak, kerosakan keluarga dan kehancuran masyarakat.
Berkenaan dengan homoseksual, perkataan "fahisyah" dalam ayat tersebut juga merujuk kepada kategori perbuatan keji termasuk liwat. Firman Allah SWT:
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِين (٨٠) إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَآءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ (٨١)
Maksudnya: "Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu. (80). Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas." (81)
(Surah Al-A'raf 7: 80-81)
Ibnu Kathir juga menyebut bahawa perbuatan keji ini tidak pernah menjadi adat dan dilakukan oleh manusia, bahkan tidak pernah terlintas dalam akal mereka, sehingga kaum S***m melakukannya dan Allah melaknat mereka.
Ulama bersepakat secara ijmak bahawa perbuatan homoseksual seperti kaum Lut itu ialah maksiat dan dosa besar, tetapi mereka berbeza pendapat adakah hukumannya sama seperti zina atau bukan. Sebahagian ulama berpendapat dosanya lebih keji daripada zina kerana merosakkan fitrah manusia.
Rujukan:
https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1696-apakah-maksud-ayat-jangan-dekati-zina
Terus ikuti perkembangan kami di:
https://linktr.ee/spmmofficial
"Pioneering Dakwah, Empowering Ummah"
LAJNAH PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN
SEKRETARIAT PENDAKWAH MUDA MALAYSIA 2025/2026
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA