29/04/2026
Gigi Sihat, Senyuman Sepanjang Hayat ✨
Pada 29 April 2026, Unit Pergigian, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UTHM telah berjaya melaksanakan Program Pemeriksaan Pergigian, Demonstrasi Teknik Memberus Gigi serta Ceramah Kesihatan Pergigian yang berlangsung dengan penuh dinamik di Taska Hikmah dan Tadika UTHM.
Program ini turut menerima sokongan strategik melalui kerjasama erat bersama anggota kesihatan daripada Klinik Pergigian Parit Raja, Batu Pahat, Johor, yang memperkukuh usaha berterusan dalam memupuk kesedaran kesihatan oral sejak usia awal kanak-kanak.
Inisiatif berimpak tinggi ini telah diketuai oleh Dr. Muhammad Hafizul Amin bin Jimaain selaku Ketua Unit Pergigian, PKU UTHM. Program ini melibatkan penyertaan aktif seramai 11 orang guru dan 2 orang pembantu guru, selain 119 orang kanak-kanak yang terdiri daripada 28 orang kanak-kanak Taska dan 91 orang kanak-kanak Tadika UTHM, menjadikannya satu platform pendidikan kesihatan yang signifikan serta menyeluruh.
Sepanjang pelaksanaan program, pelbagai pengisian interaktif berteraskan pendidikan kesihatan telah dijalankan, termasuk ceramah kesihatan pergigian yang bersesuaian dengan tahap kanak-kanak, sesi kuiz kesedaran penjagaan gigi, penerangan teknik memberus gigi yang betul dan berkesan, demonstrasi amali penjagaan oral serta pemeriksaan kesihatan pergigian kepada para peserta.
Adalah menjadi harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan secara berterusan sebagai agenda tahunan Unit Pergigian PKU UTHM dalam usaha melahirkan generasi yang cakna terhadap kepentingan penjagaan kesihatan oral, seterusnya membudayakan amalan hidup sihat sejak usia awal.
Kerana senyuman yang menawan, lahir daripada gigi yang sihat dan terjaga.
Kalau ada sumur di ladang, bolehlah kami menumpang mandi.
Kalau ada umur yang panjang, insya-Allah kita dipertemukan lagi.