09/02/2026
FAQ: “Prosedur Tidur 6 Saat” Dari Sudut Perubatan
1) Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan “tidur 6 saat”?
Istilah ini biasanya digunakan untuk perbuatan menekan bahu, tengkuk atau leher seseorang sehingga individu itu pitam sekejap, kemudian sedar semula. Ia sering dianggap sebagai gurauan, cabaran, atau kononnya satu bentuk “terapi”.
Dalam perubatan, ini bukan prosedur rawatan dan bukan teknik yang selamat.
2) Apakah fungsi saluran darah utama di leher dan tengkuk?
Otak menerima darah beroksigen melalui dua laluan utama:
• Arteri karotid di kiri dan kanan leher
• Arteri vertebral yang melalui bahagian belakang tengkuk
Saluran ini sangat kritikal. Otak tidak mempunyai simpanan oksigen. Aliran darah mesti berterusan setiap saat.
3) Apa yang berlaku bila kawasan ini ditekan?
Tekanan pada leher atau tengkuk boleh:
• Mengurangkan atau menghalang aliran darah ke otak
• Merangsang refleks badan yang menyebabkan degupan jantung menjadi perlahan
• Menyebabkan tekanan darah jatuh secara mendadak
Gabungan ini boleh menghentikan bekalan darah dan oksigen ke otak secara tiba-tiba.
4) Apa kesan segera kepada otak?
Bila darah dan oksigen tidak sampai, otak akan “shutdown” sementara.
Inilah yang menyebabkan seseorang terus pitam.
Jika disertai pergerakan menggelupur, ia dikenali sebagai convulsive syncope. Ia kelihatan seperti sawan, tetapi puncanya ialah kekurangan aliran darah ke otak, bukan gangguan elektrik otak biasa.
5) Kenapa lepas sedar ada orang rasa lega atau segar?
Bila otak kekurangan oksigen, badan terus aktifkan sistem kecemasan. Hormon seperti adrenaline, noradrenaline, serta lonjakan dopamine dan endorphin dilepaskan untuk menyelamatkan otak.
Ini boleh mencetuskan rasa lega, ringan, atau euforia sementara. Hakikatnya, ia adalah reaksi badan selepas hampir berdepan bahaya.
6) Jadi rasa segar itu bukan manfaat kesihatan?
Bukan. Ia cuma kesan sementara akibat hormon stres.
Ibarat orang yang hampir lemas, kemudian berjaya bernafas semula. Nafas itu terasa sangat lega, tetapi pengalaman hampir lemas itu sendiri bukan sesuatu yang selamat atau baik untuk badan.
7) Apakah risiko yang boleh berlaku?
Risikonya tidak kecil dan tidak boleh diramal:
• Kecederaan kepala akibat jatuh
• Gangguan irama jantung
• Strok
• Kerosakan otak kekal
• Henti jantung mengejut
Risiko lebih tinggi pada individu yang mempunyai masalah jantung atau saluran darah yang tidak disedari.
8. Adakah prosedur ini mempunyai sebarang manfaat kesihatan yang dibuktikan?
Tidak.
Tiada kajian saintifik atau garis panduan perubatan yang menyokong tekanan leher atau tengkuk sebagai rawatan atau terapi. Ia tidak diiktiraf oleh mana-mana badan perubatan.
9) Adakah terdapat bukti bahawa ia membawa risiko kesihatan?
Ya.
Dalam literatur perubatan dan kes kecemasan, pengsan akibat gangguan aliran darah ke otak dan tekanan leher telah lama dikenal pasti sebagai berbahaya. Banyak kes tidak dilaporkan secara khusus kerana puncanya tidak diketahui atau dilabel secara umum sebagai “pengsan” atau “jatuh”.
Kesimpulan ringkas
“Tidur 6 saat” bukan terapi.
Ia tidak disokong sains perubatan.
Rasa segar selepas sedar bukan tanda selamat.
Risikonya wujud dan tidak boleh diramal.
Nyawa dan otak manusia bukan eksperimen.
Informasi dikongsikan, pilihan sentiasa di tangan anda.