27/11/2025
Lonjakan kes influenza di UK & Jepun dikaitkan dengan varian baharu H3N2 (subclade K). Walaupun terdapat mutasi tambahan, vaksin influenza masih berkesan mengurangkan risiko gejala teruk dan kemasukan ke hospital, terutamanya bagi kanak-kanak & warga emas.
Untuk makluman, vaksin influenza yang terkini melindungi daripada 3 strain utama influenza:
1. Influenza A (H1N1)
2. Influenza A (H3N2)
3. Influenza B – Victoria lineage
Ini termasuk perlindungan terhadap keluarga H3N2, yang kini dominan di beberapa negara.
Jika anda akan melancong, ada anak kecil, atau menjaga warga emas — ini masa terbaik untuk dapatkan vaksin influenza tahunan anda.
Selanjut info : https://wa.link/0uxsxq
Ramai rasa musim virus dah reda. Tapi di UK, Jepun dan Eropah, kes flu sedang naik lebih awal daripada biasa kerana satu varian baru influenza A H3N2 yang dipanggil subclade K. Varian ini sudah dikesan di semua benua dan kini mendominasi sampel flu di beberapa negara, terutama UK dan Jepun. 
Apa yang istimewa tentang varian ini? Subclade K masih dalam keluarga flu H3N2 yang biasa, tetapi mempunyai beberapa mutasi tambahan yang membantu virus mengelak sebahagian imuniti sedia ada. Ia dikaitkan dengan permulaan musim flu yang lebih awal dan peningkatan kes di kalangan kanak kanak dan warga emas, walaupun buat masa ini tahap keterukan keseluruhan masih dianggap dalam julat musim flu yang kuat, bukan pandemik baru. 
Berita yang orang selalu salah faham ialah tentang vaksin. Ya, formulasi vaksin musim ini dibuat sebelum subclade K muncul sepenuhnya, jadi padanan tidak sempurna. Tetapi data awal menunjukkan vaksin masih mengurangkan risiko dimasukkan ke hospital dengan ketara, terutama bagi kanak kanak yang menerima vaksin dan masih memberi perlindungan sederhana kepada warga emas. Dalam kata lain, mungkin anda tetap boleh dijangkiti, tetapi peluang jadi teruk dan perlukan oksigen jauh lebih rendah jika sudah divaksin. 
Kenapa rakyat Malaysia perlu ambil peduli kalau lonjakan ini banyak berlaku di negara musim sejuk? Sebab hujung tahun adalah musim cuti, umrah, melancong ke Eropah, UK, Jepun dan Korea. Virus bergerak bersama manusia. WHO dan ECDC melaporkan musim flu tahun ini bermula hampir empat minggu lebih awal di rantau Eropah dengan peningkatan jelas kes H3N2 subclade K. Apabila rakyat kita pulang, flu ini berpotensi dibawa masuk dan beredar bersama virus sedia ada di sini, terutama dalam kalangan keluarga yang ada warga emas dan pesakit kronik. 
Apa yang kita boleh buat sekarang? Utamakan vaksin flu untuk kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, pesakit jantung, paru paru dan kencing manis, ibu mengandung, kanak kanak kecil serta petugas kesihatan, terutama jika akan travel atau bekerja di kawasan sesak. Jika demam, batuk dan sakit badan teruk, duduk di rumah, pakai pelitup muka jika terpaksa keluar, jaga etika batuk dan basuh tangan dengan kerap. Bagi yang berisiko tinggi, rawatan antiviral boleh membantu jika dimulakan awal, jadi jangan tunggu terlalu lama untuk berjumpa doktor. Varian mungkin berubah, tetapi langkah asas perlindungan masih sama dan sangat bermakna untuk menyelamatkan nyawa.