22/12/2021
5 Cara ‘Claim’ Insurans Kereta Ditenggelami Banjir
Jika kereta anda dilindungi oleh insurans tambahan bencana alam, rujuk cara untuk membuat tuntutan insurans banjir di bawah untuk memudahkan urusan anda.
1. Hubungi Pihak Insurans
Jika kereta anda ditenggelami banjir, maklumkan insiden tersebut kepada pihak insurans anda. Jika perlu, minta bantuan perkhidmatan trak tunda. Elakkan daripada menghidupkan kereta anda kerana ia mungkin boleh menyebabkan kerosakan yang lebih serius.
2. Kumpulkan Bukti
Kebanyakan syarikat insurans memerlukan dokumen sokongan dan bukti dalam urusan tuntutan insurans berkaitan banjir:
Catat lokasi dan masa/tarikh insiden banjir yang berlaku;
Ambil gambar kerosakan kereta yang ditenggelami banjir;
Sediakan salinan kad pengenalan, salinan lesen memandu, salinan geran dan salinan polisi insurans untuk rujukan;
Butiran atau dokumen sokongan lain yang menjelaskan kerosakan kereta (jika ada).
3. Buat Laporan Polis
Jika boleh, buat laporan polis sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam untuk memudahkan urusan tuntutan insurans anda.
4. Serahkan Borang Tuntuan dan Dokumen Sokongan
Jika dokumen-dokumen yang diperlukan sudah lengkap, anda bolehlah menyerahkan borang tuntutan anda bersama-sama dengan dokumen sokongan tersebut kepada ejen insurans atau syarikat insurans anda. Tempoh pemprosesan tuntutan kerugian anda biasanya akan dimaklumkan oleh pihak insurans untuk rujukan anda.
5. Hantar Kereta ke Bengkel Panel
Kebiasaannya, pihak insurans akan menasihati anda untuk menghantar kereta yang terjejas banjir ke bengkel panel syarikat insurans. Anda boleh mendapatkan senarai lengkap bengkel panel berdekatan anda daripada pihak insurans.
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda sekiranya anda berhadapan dengan situasi kereta ditenggelami air banjir. Langkah-langkah yang dikongsikan mungkin tidak dapat menyelamatkan kereta anda sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan risiko kerosakan yang lebih teruk dan mengelakkan anda daripada mengeluarkan belanja yang lebih besar. Paling penting, pilih bengkel atau pusat servis kereta yang boleh dipercayai.