04/02/2026
MESYUARAT LAPORAN MENYELURUH
PERKEMBANGAN & PENCAPAIAN
PUSAT RAWATAN ISLAM AL ABQORY (PRIQ)
BAGI TAHUN 2025
SENDAYAN, 3 FEBRUARI 2026
Pusat Rawatan Islam Al Abqory (PRIQ) telah mengadakan Mesyuarat Laporan Menyeluruh Perkembangan dan Pencapaian bagi Tahun 2025 bertempat di Bilik Kuliah, Masjid Sheikh Haji Ahmad (MSHA), Sendayan, Negeri Sembilan.
Mesyuarat ini diadakan bertujuan untuk membentangkan, merumus dan menilai keseluruhan laporan pengoperasian, pencapaian serta perkembangan Pusat Rawatan Islam Al Abqory sepanjang tahun 2025, sebagai makluman dan rujukan kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Sheikh Haji Ahmad.
Mesyuarat telah dihadiri oleh YBhg. Dr. Ustaz Anwar bin Muttaqin, selaku Pengerusi Masjid Sheikh Haji Ahmad merangkap Penasihat 1 Pusat Rawatan Islam Al Abqory, diiringi Setiausaha MSHA, En. Kamal, serta seluruh barisan perawat Pusat Rawatan Islam Al Abqory.
Antara perkara utama yang dibentangkan dan dibincangkan adalah:
Latar belakang penubuhan Pusat Rawatan Islam Al Abqory
Objektif serta impak penubuhan PRIQ kepada masjid dan masyarakat
Struktur dan organisasi Jawatankuasa PRIQ
Rangkuman aktiviti dan pencapaian sepanjang tahun 2025
Cadangan penambahbaikan bagi memperkasa perkhidmatan pusat rawatan
Hasil daripada perbincangan dua hala yang dijalankan, beberapa cadangan penambahbaikan telah dikenal pasti dan dipersetujui, yang dijangka mampu memberikan impak positif terhadap pengurusan serta penyampaian perkhidmatan PRIQ kepada masyarakat.
Pihak Penasihat turut menyampaikan kata-kata semangat dan penghargaan kepada seluruh barisan perawat atas komitmen dan pengorbanan dalam berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira masa dan keadaan, di samping sentiasa menjaga nama baik Masjid Sheikh Haji Ahmad dan Pusat Rawatan Islam Al Abqory.
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh Al-Fadil Ustaz Mohamad, selaku Pengerusi Pusat Rawatan Islam Al Abqory, diikuti dengan bacaan doa selamat serta jamuan ringan.
Diharapkan agar mesyuarat seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti kelemahan, menambah baik pengurusan serta memperkukuhkan mutu perkhidmatan Pusat Rawatan Islam Al Abqory demi manfaat masyarakat keseluruhannya.
Sumber: Lajnah Latihan & Pembangunan PRIQ
Gambar: Media PRIQ