24/10/2025
🌿 PROGRAM PENCEGAHAN HIV/STI BERSAMA WARGA UiTM SEREMBAN 3 🌿
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban dengan kerjasama NGO MyKekasih telah mengadakan Program Pencegahan HIV/STI di UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban 3 pada 10 Oktober 2025.
Program ini menyasarkan seluruh warga UiTM termasuk pelajar dan staf dengan objektif utama untuk meningkatkan pengetahuan mengenai pencegahan penyakit jangkitan seksual, khususnya HIV, serta memberi pendedahan tentang saringan kesihatan, faktor risiko dan langkah-langkah pencegahan.
Antara faktor risiko jangkitan HIV ialah:
- Hubungan seksual yang tidak selamat
- Perkongsian jarum suntikan
- Pemindahan darah yang mengandungi HIV
- Jangkitan daripada ibu kepada anak semasa mengandung, kelahiran atau penyusuan
Statistik semasa di Malaysia menunjukkan bahawa kumpulan umur 20 hingga 30 tahun merupakan golongan paling ramai dikesan positif HIV. Justeru, usaha pendidikan dan pencegahan di peringkat institusi pengajian tinggi amat penting bagi membantu golongan muda membentuk gaya hidup sihat, tingkah laku yang bertanggungjawab terhadap kesihatan diri serta komuniti.
🤝 PKD Seremban komited untuk terus memperkukuh usaha pendidikan dan pencegahan HIV/STI bersama rakan strategik bagi memastikan komuniti yang lebih sihat, berpengetahuan dan bebas stigma.