14/05/2019
DISARANKAN BEKAM KETIKA BERPUASA ?
Pengaliran darah meningkat pada salur darah arteri superior mesenteric di saluran pencernaan selepas makan dan akan berkurang 2 jam selepas makan.
Apabila kita makan dalam tempoh kurang dari 2 jam, ini membuatkan pengaliran darah pada kapilari di bahagian kulit akan berkurang. Kenapa berkurang ?
Ini sebab lebih banyak darah akan tertumpu pada bahagian saluran pencernaan untuk membekalkan lebih banyak oksigen & zat makanan sebagai sumber tenaga untuk sistem pencernaan.
Sistem pencernaan perlukan sumber tenaga dari darah untuk menjalankan fungsinya dengan baik.
Apabila aliran darah menurun di bahagian kulit yang akan dibekam maka kurang efektif untuk mengeluarkan bahan-bahan punca penyakit yang kita kenali sebagai Causative Pathological Substance (CPS).
Kurang kesan terapeutik bekam jika dilakukan pada waktu ini.
Sebaliknya jika kita dalam keadaan berpuasa atau ketika perut kosong pengaliran darah akan menjadi sekata ke seluruh tubuh maka kesan terapeutik bekam lebih meningkat dan efektif.
Lebih banyak darah akan ke bahagian kapilari kulit membuatkan peluang mengeluarkan CPS punca penyakit melalui kulit lebih tinggi berbanding ketika 2 jam pertama selepas makan.
Tidak bermaksud tiada kesan terapeutik bekam pada waktu tidak berpuasa. Pemahaman fisiologi mendedahkan secara teori kesan bekam yang lebih baik ketika perut dalam keadaan yang lebih tenang.
Ambil manfaat sebanyaknya dengan terapi bekam ketika puasa ini sebagai langkah penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit selain dari kurniaan pahala yang berganda insyaAllah.
Diingatkan terapi bekam pada bulan puasa lebih baik dilakukan pada waktu pagi atau 2-3 jam selepas berbuka berbanding lewat petang menghampiri waktu berbuka kerana kita pertimbangkan kehilangan cairan badan.
Semoga bermanfaat.