15/12/2025
Pantai Hospital Laguna Merbok berbesar hati menjayakan Program Kesihatan bersama warga Markas Briged Keenam Infantri Malaysia Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, sebagai usaha berterusan memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan.
Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Skuadron 6 SSB, Lt Kol Zaid bin Ishak (mewakili Panglima 6 Bgd) dan turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Laguna Merbok, Puan Tio Bee Chan, yang sama-sama turun padang berinteraksi dengan para peserta, sekali gus mencerminkan komitmen kepimpinan hospital dalam menyokong inisiatif kesihatan awam.
Program ini menarik penyertaan kira-kira 1,000 orang peserta, termasuk pegawai dan anggota LLP, ahli BAKAT bersama keluarga, serta orang awam dari sekitar Sungai Petani.
Antara aktiviti dan perkhidmatan yang disediakan termasuk pemeriksaan kesihatan asas sebagai tanggungjawab hospital terhadap kesejahteraan masyarakat, pemeriksaan kanak-kanak oleh Dr Nabil (Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan), pemeriksaan kesihatan wanita oleh Dr Azura (Pakar Perunding O&G), pemeriksaan ENT oleh Dr Cammy Ng, analisis komposisi badan oleh Pakar Pemakanan, Puan Norhamizah, serta kempen derma darah dengan kerjasama Unit Tabung Darah, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan khasnya Tentera Darat Malaysia (TDM) atas peluang dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan inisiatif kesihatan ini.