04/02/2026
Ramai abang-abang kita ingat kalau nak zuriat, asalkan "on" sahaja sudah cukup.
Tapi pernah tak anda terfikir tentang kualiti "tentera" yang anda hantar berjuang tu?
Adakah mereka perenang bertaraf Olimpik, atau sekadar terapung-apung keletihan?
Sains dah buktikan, apa yang masuk ke dalam mulut anda hari ini, akan menentukan kualiti sperma anda dalam masa 2 hingga 3 bulan akan datang.
Ya, proses matang sperma ambil masa lebih kurang 74 hari. Jadi, menu nasi kandar kuah banjir dan air teh tarik tiga lapis yang anda ambil setiap hari tu sebenarnya tengah "sabotaj" kilang benih anda sendiri.
Kalau nak tentera yang berkualiti, kuat berenang, dan tak cacat, kena bagi mereka "bahan api" yang betul:
Pertama, lemak baik dari ikan salmon, sardin, atau kacang walnut. Omega-3 ni ibarat pelincir yang buat membran sperma jadi fleksibel dan kuat berenang.
Kalau kurang lemak baik, sperma jadi lembab.
Kedua, sayur hijau gelap macam bayam dan brokoli. Ini kaya dengan folate. Kalau folate rendah, risiko sperma cacat bentuk (DNA rosak) akan meningkat. 
Kita nak anak yang sihat, jadi benih pun kena sempurna bentuknya.
Ketiga, jangan lupakan Zink dan Selenium. Boleh dapat dari biji labu atau tiram. Zink ni sebenarnya "nadi" untuk hormon testosteron. Zink rendah maksudnya jumlah sperma pun akan merosot.
Keempat, antioksidan dari buah-buahan beri atau tomato. Ia berfungsi sebagai pelindung (shield) daripada stres oksidatif yang boleh merosakkan DNA sperma.
Yang paling penting, tolonglah kurangkan gula dan makanan ultra-proses. Gula berlebihan ni ibarat racun yang mencetuskan keradangan dalam badan dan terus menjatuhkan kualiti sperma korang. Merokok adalah racun utama sperma berkualiti, senang kata ia mencacatkan sperma.
Ingat, kualiti benih bukan berubah dalam satu malam. Ia adalah pelaburan 3 bulan. Kalau hari ini anda mula makan sihat, kesannya hanya akan nampak 74 hari lagi. Jangan nanti bila dah "check" dekat klinik baru nak menyesal tengok tentera sendiri semua "goyang kaki".
Sayangi kilang anda, jaga makan dari sekarang.