Dr Fradzi Channel

Dr Fradzi Channel Surgical Related Video Creator

LAIN MACAM 'VIBE' DI JABATAN PEMBEDAHAN HSNZ, TERENGGANUSemalam adalah hari terakhir saya di HSNZ. Sedih p**a nak mening...
29/08/2025

LAIN MACAM 'VIBE' DI JABATAN PEMBEDAHAN HSNZ, TERENGGANU

Semalam adalah hari terakhir saya di HSNZ. Sedih p**a nak meninggalkan hospital ni...

Orang sekali baca mesti pelik, "Kenapa mamat ni sedih nak keluar hospital? Patut happy la dapat keluar hospital, kan?" Saya lain, bang. Untuk saya, hospital ni macam rumah kedua. Setiap hari saya menghabiskan masa di hospital. Setiap kali pindah hospital, saya pasti akan mencari Bilik Bedah (OT) – ia adalah 'happy place' saya. Tempat saya belajar, berbakti, dan rasa 'bermanfaat' untuk orang lain.

Dari hari pertama saya di sini, saya telah disambut mesra oleh Ketua Jabatan sendiri yang meluangkan masa untuk 'es**rt' saya melakukan orientasi. Beliau tunjukkan ward, klinik, sambil bercerita dengan penuh 'passion' tentang jabatan pembedahan di sini.

Pakar-pakar bedah yang dah sangat senior, walaupun dah berpangkat konsultan dan JUSA, tetap rendah diri, ‘cool’, dan s**a mengajar.

Mana nak jumpa konsultan yang tolong adjust ketinggian meja bedah. Terbongkok-bongkok ambil remote, naik/ turunkan meja mengikut kesesuaian doktor junior yang tengah nak buat operation. Susah nak jumpa konsultan yang sanggup tolong alihkan 'sandbag' di belakang bahu pesakit masa pembedahan sudah hampir selesai. Bila bos-bos besar dah perangai macamni, anak-anak buah pon turut ikut sama. Saling hormat-menghormati, tolong menolong, saling bekerjasama untuk merawat pesakit disini. Memang lain macam 'vibe' disini.

Antara nilai-nilai hebat yang saya perasan disini yang saya fikir patut untuk kita amalkan ditempat-tempat lain adalah :

1) Kepimpinan melalui Tauladan, "Respect is Earned"
Kepimpinan yang tunjukkan contoh yang baik akan dapat penghormatan daripada anak buah. Bila bos-bos besar 'turun padang', tak lokek untuk hulurkan bantuan, secara automatik anak-anak buah akan ikut jejak yang sama.

2) Tiada Budaya 'Blame Game'.
Di sini, fokus utama adalah menyelesaikan masalah dan belajar daripada kesilapan. Bila berlaku masalah, bukan cari siapa punya kerja, tapi cari kenapa dan apa yang patut diperbaiki. Sama-sama bincang penyelesaian agar kesilapan sama tidak berulang. Inilah budaya yang membina, bukan budaya yang menekan. Makin ditekan, makin ditanam, bukannya boleh makin berjaya. Makin tenggelam ada lah. Kan?

3) Beri Peluang kepada 'Juniors' / orang bawahan.
Pakar-pakar, senior-senior di sini tidak takut untuk bagi peluang kepada doktor muda untuk melakukan prosedur mudah. Dan untuk doktor pascasiswazah macam saya, dibenarkan p**a untuk buat kes-kes besar, di bawah pemantauan mereka. Peluang macamni yang membina kematangan dan keyakinan untuk menjadi seorang pakar bedah yang cekap. Makin ramai junior berminat nak sambung Master jadi pakar bedah, makin banyak junior surgeon yang lebih terampil dan tenang berdikari.

3) Komitmen Belajar di Luar Waktu Kerja.
Di sini, kes memang banyak. Pesakit dekat wad dah macam tin sardin. Jadi memang peluang untuk belajar tu sangat banyaklah. Bila pakar-pakar, bos-bos semua baik-baik, yang junior ni rajinlah datang diluar waktu kerja mereka untuk belajar. Pengorbanan masa ni memang perlu, banyak kali buat, banyak yang kita akan lebih tahu.

4) Saling Tolong-Menolong, "Teamwork Makes The Dream Work"
Tidak kira pangkat, umur, jantina, semua staf sentiasa berganding bahu. Kalau ada yang perlukan bantuan, semua sedia membantu. Budaya ni tak boleh dibuat-buat atau dipaksa, dia lahir dari rasa hormat dan persekitaran yang telah lama dibina.
"Ada apa-apa, roger je!"
"Kami sedia membantu"

Apa-apa pun, terima kasih tak terhingga kepada seluruh warga Jabatan Pembedahan dan semua yang pernah bekerjasama sepanjang saya di HSNZ. Pengalaman dan ilmu di sini amat berharga. Doakan perjalanan saya seterusnya. Doakan saya cepat jadi pakar bedah yang berjaya dan bermanfaat buat semua

Sampai jumpa lagi, Terengganu!



Dr. Fahkrul Radzi
Doktor bedah separuh masa
Pemimpin diri dan keluarga sepenuh masa

SELAMAT ULANGTAHUN PERKAHWINAN, SAYANG"Anak-anak ke?" Tegur seorang senior selepas saya selesai bervideo-call dengan ana...
24/08/2025

SELAMAT ULANGTAHUN PERKAHWINAN, SAYANG

"Anak-anak ke?" Tegur seorang senior selepas saya selesai bervideo-call dengan anak-anak di dalam bilik ruangan untuk pegawai perubatan yang oncall di hospital. Saya janji nak telefon mereka lagi bila saya dah balik ke bilik sewa malam nanti, insyaallah.

"Berapa orang anak?" Sambungnya lagi.

"Empat, abang berapa orang anak?" Belum betul-betul berkenalan dengan kawan-kawan di hospital Terengganu ni sebenarnya, tapi sedar tak sedar dah nak habis tempoh rotation saya di Kuala Terengganu. Sedih p**ak rasa, huhu...

"Jaga anak-anak, isteri molek-molek. Bukan apa, saya banyak kawan-kawan yang bukan setakat masa ambil master, dah lepas jadi Specialist pon ramai yang bercerai. Kesian ke anak-anak."

"Masing-masing sibuk dengan kehidupan masing-masing, tiba-tiba ada orang ketiga", tegur abang senior ni. Nampak dia ikhlas menceritakan pengalaman hidupnya untuk manfaat dikongsi bersama.

"Saya faham bang. Orang ketiga satu hal, saya ada juga dengar kisah-kisah orang lain, yang si suami sibuk dengan urusan kerjaya, si isteri menghadapi tekanan mental akibat stress melampau menguruskan anak-anak. Tu pon risau juga bang"

Cerita orang ketiga banyak dah kita dengar. Cuma cerita isteri kelelahan, isteri kepenatan, isteri kemurungan, isteri keresahan, tak ramai orang yang bercerita.

Orang perempuan ni fikiran mereka tak sama dengan orang lelaki. Orang perempuan kalau menguruskan rumah habis dari A sampai Z dia buat kira-kira perhitungan apa yang perlu, apa yang tak perlu, apa 'worse case scenario' kalau biarkan anak buat itu ini. Sebab itulah dengan mak-mak, anak-anak ni tak boleh buat semua benda. Mak-mak ni cepat risau. Cuba tengok ayah-ayah jaga anak. Asal cukup makan pakai, asal ko tak cedera teruk sangat sudah lah. Setakat jatuh luka lebam tu pandai-pandai la korang tahan sakit sendiri.
Ye dak, geng ayah-ayah sekalian? Hahaha...

Orang perempuan ni kuat sebenarnya, dia boleh menggoncang dunia hanya dengan tangannya. (Atau mungkin dengan suaranya. Opps. Haha!)
Tapi kuat mereka ni ada syaratnya.
Mereka perlukan kasih sayang dan perhatian seorang suami. Jika suami bijak untuk mengisi tangki emosi, pasti mereka akan kuat mengalahkan orang besi.

Orang lelaki yang sentiasa menjaga hati isteri, akan kekal tenang meninggalkan rumah melangkah mencari rezeki. Orang ketiga mungkin datang, jika isteri tidak bersyukur macam kes lelaki yang ditangkap membunuh skandal isterinya tu. Saya tak nak komen pasal kisah tu.

Orang lelaki kadang dituduh "takut bini",
Padahal sebenarnya kami tak nak isteri makan hati....

Kerana mereka lah suri hati kami, yang bersusah payah melahirkan dan membesarkan anak-anak kami...

Ingatlah wahai kawan-kawan lelaki, dalam kerja keras kita mencari rezeki, jangan diabaikan perasaan seorang isteri.

Ingatlah wahai kawan-kawan lelaki, janganlah bergurau-gurau depan perempuan suruh "tambah isteri" jika kita tak tahu apa latar belakang kisah mereka. Dalam group whatsapp takpe, saje main-main nak tunjuk hebat. (Mohon terasa, group-group lelaki sahaja tu. Hahaha, chill bang, chill. Jangan marah aku! Hehe...)

******

"Sebenarnya, harini hari Anniversary saya bang"

"Hoh! Doh bakpenye dok cuti???!", terkejut saya kena sergah. Hahaha!

"Kite nye dok rajin mintok cuti bang... Dah nak hujung-hujung rotation ni kena maintain nama baik. Baru dapat 'good feedback' dari boss. Hehe..."

******

SELAMAT ULANGTAHUN PERKAHWINAN, SAYANG

Tahun ni kita takde makan di luar bersama-sama.
Maaf sebab tak mohon cuti.
Maaf sebab tak sempat nak pergi Cameron Highlands.
Tapi insyaAllah, setiap pahala yang saya buat untuk pesakit-pesakit disini,
ada bahagiannya untuk awak dan anak-anak.

Terima kasih kerana masih memilih untuk bertahan, sabar, dan terus kuat,
walaupun suami awak ni kadang lebih banyak masa dengan pesakit daripada keluarga sendiri.
Saya akan ganti balik masa berkualiti dengan keluarga insyaallah, janji!

Semoga Allah terus pelihara rumah tangga ini,
diberi sakinah, mawaddah, dan rahmah.
Semoga kita terus saling menyokong, saaling mendoakan, dan saling mencintai hingga ke syurga.

Ameen ya Rabb.

Dr Fahkrul Radzi
Doktor bedah separuh masa
Suami sepenuh masa
Bapa seluruh jiwa.

[Ada Doktor Kat Sini?]Pagi tadi masa naik motor 'on the way' nak pergi kursus di Kuantan, tiba-tiba ternampak ada seoran...
23/07/2025

[Ada Doktor Kat Sini?]

Pagi tadi masa naik motor 'on the way' nak pergi kursus di Kuantan, tiba-tiba ternampak ada seorang budak berumur dalam lingkungan 12-13 tahun terbaring layu, terkulai di tengah jalan raya, pakai baju PJ sekolah, dan seorang lagi mungkin ayah dia atau penjaganya berumur sekitar 45-50 tahun tengah terduduk dengan luka berdarah-darah di siku kiri, sambil pegang tulang rusuk sebelah kiri.

Mula-mula tu lalu dan tengok sekali imbas je. "Tak payahlah tengok lama-lama nanti makin 'jem' p**ak jalan nanti", bicara sendiri dalam hati.
Teruskan perjalanan.

Tapi hati rasa tak sedap, nampak macam baru je kejadian tu berlaku, ada sorang je penunggang motorsikal yang menolong di situ, tak ramai lagi yang berhenti, mungkin kejadian tu baru berlaku.
Setelah berlalu 100meter, saya ubah fikiran. Saya patah balik.

Parking motor tepi jalan, dengan helmet full face masih di kepala, baju hujan lengkap dengan boot hujan, berhenti dan pergi 'assess' mangsa 'accident' tadi.

"Dik, nama siapa dik? Sakit kat mana?"
"Encik, encik okay? Sakit kat mana encik?"

Pakcik tu tunjuk tulang rusuk kiri. Tak bercakap tapi ada respon, mungkin sedikit pening dan sesak nafas tapi tidak terlalu kritikal. Darah tak banyak keluar dari siku kirinya. Pernafasan okay, nadi (jantung) pon okay. Alhamdulillah ,seorang mangsa dah di-"assessed". Status : Stabil.✅

Pergi ke adik tadi, GCS (kalau orang awam pandai menilai status GCS - Glasgow Coma Scale, sangat membantu!)
GCS adik ni E3,V2,M4. Ada lebam dan bengkak benjol besar di mata kiri. Kelopak mata kiri seolah-olah menutup mata dari terbuka. Tempat lain okay, jadi mungkin adik ni ada kecederaan TBI -Traumatic Brain Injury (gegar otak/perdarahan dalam kepala). So far masih okay, airway dan breathing okay, circulation pon okay. Cuma kalau tunggu lama takut GCS drop, mungkin perlu intubate (masuk tiub pernafasan, ditidurkan, stabilkan di ICU).

"Dah ada orang call ambulance?"
"Dah", jawab seorang lelaki yang melihat kejadian dari awal tadi.

Okay, ambulans nak datang tak tau bila, mangsa kat tengah jalan besar, orang banyak lalu lalang, 'peak hour' nak pergi kerja dan hantar anak sekolah, mangsa perlu berada di 'environment' yang selamat.

Jadi saya check cervical tenderness (sakit pada bahagian leher belakang jika ditekan), immobilized (tidak gerakkan) the neck, dengan cara sodok bahu kanan dan kiri adik ni untuk support leher dan kepala, dibantu seorang lagi bystander, angkut adik ni bawak ke tepi jalan.
Status : Stabil, watchout for GCS drop! 🆘

Kemudian saya pergi semula ke pakcik tadi, tanya "boleh jalan tak? Kalau boleh, jom berdiri, saya bawak ke tepi"

Saya sangkut lengan kanannya di belakang bahu saya, saya papah dia berjalan ke tepi.

Waktu ni saya perasan ramai yang ambil video dan ambil gambar. Harap-harap takde yang kenal saya, helmet tak bukak sebab tak nak orang kenal. Haha.

Kemudian ada seorang MA (tahu dia MA sebab dia pakai baju uniform hijaunya untuk pergi kerja) datang mendekati mangsa tadi, dia kelihatan terus telefon kawannya di hospital, untuk panggil ambulan segera. Mungkin dia ni MA di jabatan kecemasan.

"Ada dua orang mangsa ni, cepat datang"

Saya rasa lega, saya serahkan mereka kepada MA tadi. Saya percaya mangsa sudah selamat jika MA ni bersedia membantu sampai ke hospital. Saya pon kemudiannya beredar untuk teruskan perjalanan ke kuantan. Sambil bawak motor sambil berfikir, alangkah bagusnya kalau orang awam tahu asas-asas bantuan kecemasan. Hmm, kene buat video ni. Tapi lepastu lupa, tak sempat nak buat video, sebab kena buat benda lain. Haha.

Jadi tulis jelah. Korang baca korang sampaikan pada saudara mara korang. Kot-kot mereka berminat nak belajar ilmu asas ketika kecemasan. Boleh jadi mereka mampu menyelamatkan nyawa!!!

MORAL of the Story :
✅ Tolong jika mampu. Bantulah apa yang mampu.
✅ Tahu asas trauma: ABCDE, GCS, kecederaan kepala dan leher jangan banyak gerak, boleh lumpuh!
✅ CPR dan resusitasi (bantuan kecemasan) bukan untuk doktor je, tapi untuk semua yang mahu cari ilmu.

Dr Bedah + Mat Motor
Dr Fahkrul Radzi





Terengganu, mung jangan cari pasal!"Terengganu haram LGBT". Terpampang besar-besar iklan di tepi jalan. Walaupun sebenar...
01/07/2025

Terengganu, mung jangan cari pasal!

"Terengganu haram LGBT". Terpampang besar-besar iklan di tepi jalan. Walaupun sebenarnya tak perlu dijadikan iklan pon, benda ni semua patut tahu ianya haram dan berdosa, 'Nabi tak mengaku ummat', tapi ia tetap diberikan penekanan dan diiklankan, syabas kerajaan negeri Terengganu! Melaburkan duit untuk membuat iklan khidmat masyarakat seperti ini.

Banyak pesakit datang ke klinik atau hospital, yang sudah dijangkiti HIV, ada yang sudah sampai ke tahap AIDS, bila diselidiki kisah disebaliknya, bukan lagi akibat berkongsi jarum. Tapi disebabkan MSM (Men S*x Men). Aku tak tahu apa yang seronoknya MSM ni, tapi ada (dan ramai juga) yang terjebak.

Salah satu puncanya mungkin, adalah kehidupan di asrama. Jaga-jaga ibubapa yang ingin menghantar anak ke asrama. Pastikan anda tidak 'melepaskan' anak anda disekolah asrama tanpa pngawasan, tanpa dijaga diambil berat siapa kawan dan persekitarannya. Walaupun sekolah agama ke, sekolah tahfiz ke, akan ada makhluk yang dididik oleh syaitan untuk menghasut budak-budak yang baru nak meningkat remaja ni. Mula dengan abang angkat adik angkat. Lepastu ajak jumpa 'study sama-sama', lepastu duduk dalam tempat asing berdua atau bertiga. Yang pasti senior akan ramai, adik junior ni sorang-sorang. Lepastu mula ringan-ringan, kemudian jadi kebiasaan.

Saya selalu pesan kat anak-anak saya, walaupun masih di sekolah rendah, tentang bahaya kawan yang 'nakal'. Dengan anak-anak saya sebenarnya takde istilah nakal ni, saya label jahat terus. "Jangan kawan dengan budak jahat, nanti jadi budak jahat. Korang nak jadi budak jahat ke?"

Kalau diorang tunjuk benda bukan-bukan, lari! Diorang akan cakap pasal gambar tu menarik, gambar ni geli, gambar ni gila, "kau nak tengok tak?"

Jawab terus, "tak nak". Dan lari pergi main jauh-jauh jangan dekat dengan diorang dah.

Kalau sekolah asing lelaki-lelaki sahaja mungkin ini salah satu masalahnya, kalau sekolah campur lelaki perempuan lain p**ak cabarannya. Tak ada benda senang di dunia ni, takkan ada benda mudah untuk didik anak di dunia ni. Kita sebagai mak bapak kena 'involve' dalam dunia mereka. Jangan lepaskan mereka, konok nak bagi kebebasan dan berdikari.

Tidak, mereka bukan bahan ujikaji untuk kita cuba-cuba lepas diri. Mereka adalah tanggungjawab kita, kita yang akan mencorakkan mereka. Nak corakkan warna apa, nak corakkan jadi bentuk apa. Takkanlah kita nak anak kita jadi baik dan soleh tapi kita biarkan dia ikut perangai dan contoh yang tak baik, betul tak?

Tepuk dada, tanya lah akal dan iman.
Yang penting, Terengganu International Bike Week tetap onz. Haha!

Dr Fahkrul Radzi
Doktor rempit dari Pahang ke Terengganu, steady...

"Doktor, nanti saya belanja kopi ya..."“Eh, seriuslah? Tak payahlah…”“Serius doktor. Terima kasih sebab tolong ajar saya...
24/05/2025

"Doktor, nanti saya belanja kopi ya..."

“Eh, seriuslah? Tak payahlah…”

“Serius doktor. Terima kasih sebab tolong ajar saya buat operation haritu. Hernia tu. Lepas tu masa oncall pun banyak doktor tolong cover saya…”

Saya hanya senyum. Dalam hati rasa syukur — sebab adik-adik ni, walaupun baru setahun lebih habis HO, masih tetap gigih nak belajar, pandai menghargai dan menghormati doktor yang lebih senior, masih tetap rendah diri dan terus ingin belajar. Dalam dunia perubatan yang makin sibuk, masa depan kerjaya yang tak jelas, kerja harian makin stress ni, ramai orang yang terlepas pandang dengan kebajikan junior-junior kita. Kata kita, mereka generasi lemah dan manja.

Mungkin ada betulnya, tapi tak perlu kita pukul rata. Siapa lagi yang akan kita harapkan selain mereka?? Orang luar?? Doktor-doktor pakar dari negara jiran??

Kadang-kadang benda sekecil ucapan terima kasih dan nak belanja kopi pun rasa macam berbunga-bunga dah rasa. Bukan sebab bayangkan akan dapat kopi mahal pon (kalau dapat alhamdulillah, haha!), tapi sebab kita rasa mungkin mereka telah dapat manfaat dari kita. Tak banyak, sikit pon jadilah. Itu yang dia nak jugak belanja kita. Rezeki jangan ditolak, ye dak?

Sebenarnya, ramai tak tahu…

Nak jadi doktor bedah ni, bukan terus dapat pegang pisau dan bedah.
Bukan semudah lulus universiti, pakai 'scrub', dan terus jadi 'hero' dalam dewan bedah.

Bertahun-tahun perjalanan kami, ada peringkat-peringkat yang perlu dilalui :

1) Tengok dulu
- mungkin jadi 'assistant' nombor tiga atau empat kepada surgeon, tengok dari jauh dulu.

2) Bantu pegang 'retractors'
- bila dapat jadi assistant pertama, kita lebih dekat dengan surgeon, jadi perlu 'buka ruang' untuk pakar bedah buat kerja. Buka jalan untuk surgeon dapat cukup 'exposure'. Jadi perlu 'retract' elok-elok, tukang tarik lah bahasa mudahnya.

- dalam masa jadi assistant pertama ni juga, banyak yang kita belajar. Belajar ni termasuklah kena jerkah, kena ketuk tangan, kena marah sebab salah pegang forceps, dan sebagainya. Lagi-lagi masa operation tengah kritikal, darah tengah memancut-mancut ko jangan nak buat hal p**ak. Mau kena halau dari OT tu karang.

- tu sebab kena belajar dulu jadi assistant kedua dan ketiga. Tengok dulu banyak-banyak, lepastu insyaallah akan pandai. Belajar dari kesilapan orang lain, belajar perbaiki diri.

3) Sampai satu hari barulah dibenarkan buat sendiri — itupun sambil diawasi.

Ya, saya akui, bukan senang, sebab tu ramai yang quit. Keluar dari jabatan pembedahan, masuk ke jabatan lain. Atau mungkin keluar dari KKM terus, buat kerja GP di klinik swasta.

Saya tengok adik-adik MO ni…
Mereka muda. Baru nak bina keyakinan.
Kadang tangan masih menggigil bila disuruh buat 'hand-tie'.
Kadang terus menggelabah bila doktor bius (anaesthesiologist) tanya "lambat lagi ke nk habis operation ni?"
Kadang masih confused antara 'colon' dan 'small bowel' bila tengah 'laparoscopic view'.
Tapi mereka tetap datang. Tetap cuba. Tetap nak belajar. Tetap bertahan.
Dan itu cukup besar untuk saya. Saya hargai setiap perbuatan mereka. Saya doakan mereka terus cekal untuk sambung belajar menjadi doktor pakar bedah juga suatu hari nanti.

Sekali lagi saya ulang, ya, memang susah. Perjalanan ini berliku. Tapi susah bukan bererti kita perlu mengalah, hadapi, jalan terus!

Hargailah adik-adik MO kita.
Jangan harap mereka terus 'perfect'.
Bantu mereka jadi doktor yang kita sendiri harap akan rawat kita satu hari nanti.
Kerana doktor yang bagus lahir dari senior yang sabar dan sistem yang menyokong.
'We can do this, guys!!!'

"Terima kasih, dik. Kopi tu nanti kalau boleh nak Spanish Latte, ice kurang, nak sugar yang zero kalori ya? Hahahaha!"

Gurau je.

Doktor sabar yang penyayang,
Dr Fahkrul Radzi

"Pukul berapa paling lambat kau tidur sebelumni?", tanya saya pada Irfan.Jam menunjukkan pukul 3.30 pagi. Operation kami...
10/05/2025

"Pukul berapa paling lambat kau tidur sebelumni?", tanya saya pada Irfan.

Jam menunjukkan pukul 3.30 pagi. Operation kami bermula pukul 11.30 malam tadi. Pembedahan untuk pesakit kami tadi ambil masa 4 jam. Ususnya gangrene (mati), bau pon dah macam lalu pasar jual ikan. Jadi terpaksa dipotong, dibersihkan, disambung semula ususnya, kemudian disusun dan tutup seperti biasa.

Ya, berdiri 4 jam tu biasa.
Alah, berdiri sambil buat kerja, bukannya berdiri kena denda kat perhimpunan kan.

Irfan ni doktor Houseman yang saya panggil untuk tolong saya di bilik bedah malamni, dia sebenarnya baru berkerja jadi doktor. Kiranya macam 'fresh from oven' la ni. Baru berkerja dua hari!

Ada istilah 'tagging' masa mula kerja ni, mereka akan datang seawal pukul 5 atau 6 pagi, belajar sambil buat kerja di wad sebanyak mungkin, habis kerja pukul 10 malam. Atau lebih. Tergantung kesibukan di wad.

Setiap hari, selama dua minggu!

Okay ada dua hari cuti dalam masa 14 hari bekerja tu untuk rehat, boleh pilih atau susun dengan ketua Houseman.

Tapi nak bagitau, yang masa 'tagging' ni lah masa paling penat kita kerja. Memang terasa betul tenaga kita diperah sampai ke titisan peluh terakhir. Makan minum tak tentu, solat pon kena lari kejap-kejap curi masa, sebab banyak sangat kerja, banyak sangat benda nak kena belajar. Kalau tak, nanti jadi doktor yang tak 'competent' p**ak.

Dulu masa saya bagitahu mak ayah pasal kisah hidup saya masa Houseman, terus mak ayah saya termenung jauh. Mungkin diorang menyesal anak diorang ni jadi doktor.

Macam Irfan ni, pukul 9.45 malam tadi saya tanya dia, "kau nak join OT (operation theater, istilah untuk operation di bilik bedah) dengan aku tak? Ke kau nak balik? Kau patut balik pukul 10 kan?"

"Lama ke boss? Takpelah, saya nak join lah. Saya assist boss je kan? Sebab saya tak pernah masuk bilik bedah lagi"

"Ye, kau tolong aku je. Aku tak boleh nak bedah orang sorang-sorang"

Sudahnya, pukul 3.40 pagi pon tak balik lagi. Huhu...Kesian beliau, harap-harap dia tak berhenti kerja lepas ni. Takut mak ayahnya cari saya p**ak nanti.

Jadi mak ayah yang teringin sangat nak anak jadi doktor, cuba fikir dua tiga kali. Sanggup ke anak kita telan semua kesusahan dan keperitan tu?

Kalau sanggup, teruskan! Kasi onz!!!
Kalau tak sanggup, jangan paksa.

Cuma boleh je mak ayah berikan sokongan dan motivasi, biar dia tak rasa terpaksa buat kerja. Biar dia tak putus asa dengan segala ujian yang melanda. Biar dia selesa dengan kesusahan dan kekurangan yang ada.

Dalam dunia ni tak ada benda yang mudah. Jalan terus, bertabahlah!

Dr Fahkrul Radzi
Doktor bedah

Harini oncall, lusa oncall lagi.Oncall bagi kami di jabatan pembedahan bermaksud berada di hospital dari pukul 8 pagi, s...
10/05/2025

Harini oncall, lusa oncall lagi.

Oncall bagi kami di jabatan pembedahan bermaksud berada di hospital dari pukul 8 pagi, sampai lah hari esok. Kalau esoknya tu hari bekerja, memang akan kerja lah sampai pukul 5 petang.

Penat?
Memang penat. Tipu kalau kata tak penat.

Minggu lepas saya oncall, seharian sibuk, waktu malam p**a masuk bilik bedah sebab ada 'tapak' fistula yang berdarah memancut-mancut. Kena 'ligate' - ikat, supaya perdarahan boleh berhenti.

Balik semula ke wad p**a ada pesakit yang tekanan darah (BP) nya rendah sangat, sebab berdarah di atas (dalam) dubur. Kita jahit, kita bagi darah, kita buat semua benda, sampailah makcik okay. Alhamdulillah BP makcik tak makin turun, nyawa tak melayang. Syukurr...

Kalau nasib tak baik, pagi-pagi esoknya p**a kena marah dengan boss sebab isu-isu berkaitan pesakit.

Siapa yang s**a hidup dalam tekanan, kene marah, tak cukup tidur, letih macamni?

Orang tanya, "kenapa kau nak buat benda ni?"
Isteri sendiri pon kadang tegur, "tak payahlah oncall banyak kali"

Tapi saya pinjam ayat orang putih, "that's the thing that keeps me moving"

Saya s**a buat sesuatu yang boleh tolong pesakit saya.
Saya s**a tengok pesakit saya sembuh.
Saya s**a tengok pesakit saya makin sihat, makin bersemangat dan boleh balik rumah dengan kuat!

Saya tulis ni dengan harapan ada adik-adik lepasan SPM yang nak sambung belajar bidang perubatan, walaupon saya sendiri akui, kerja ini bukan mudah.
Kerja ini bukan mewah.
Kerja ini pasti berpenat lelah.

Tapi kerja ini fardu kifayah, buatlah kerana Allah.

Saya tak cerita kelebihan jadi doktor, saya ceritakan kesusahan jadi doktor. Supaya adik-adik, anak-anak yang baru nak pilih cita-cita ni, tahu apa yang mereka pilih. Dalam dunia ni, kena ada orang yang pilih kerja susah. Kita kuat, biar kita sahut cabaran tu, biar kita buat kerja susah tu!

Semangat!!!!

Alhamdulillah…Mak dah discharge dari wad malam semalam lepas dialisis. Esok perlu mulakan sesi dialisis di Perak p**a. L...
04/05/2025

Alhamdulillah…
Mak dah discharge dari wad malam semalam lepas dialisis. Esok perlu mulakan sesi dialisis di Perak p**a. Lega rasa hati tengok mak dah takde tercungap-cungap, keletihan, dan bengkak-bengkak kaki. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah.
Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan…

Tapi dalam rasa syukur tu, terselit juga rasa terkilan. Mak ayah nak balik Perak sendiri, tak perlu saya hantarkan, kata mereka. Mak ayah tak bagi saya drive hantar sebab esok saya oncall. Silap, patutnya tak payah bagitau pon bila saya oncall pada mak minggu lepas. Hmm...

Sedih ada, ralat pon ada…sebab biasanya saya yang drive kereta ayah. Bila dah sampai Perak nanti, baru saya naik bas balik ke Temerloh.
Tapi kali ni, ayah yang kena drive sorang-sorang.
Aduh, patutnya saya berkeras je tadi untuk hantar. Haihh.. luah perasaan p**ak disini. Sorry lah korang, mesti korang pernah berada di situasi yang macamni kan? Huhu..

Sebelum naik kereta tadi, mak sempat pesan:
"Ko belajo je elok-elok, fokus nak periksa nanti."
Allah… nak menitik air mata rasanya. Mak ayah tak nak susahkan kita, tapi sebenarnya takde apa benda di dunia ni yang mampu susahkan kita jika kita berkhidmat untuk mak ayah kita!

Apa pon terjadi, doa mak, doa ayah, adalah azimat paling kuat untuk anak yang sedang berjuang.

Semoga Allah lindungi perjalanan mak dan ayah.
Semoga mak terus sihat, takde jangkitan baru, takde komplikasi penyakit dari jarum 'permanent catheter' yang dimasukkan semalam, takde masalah untuk HD, dan ayah pon terus sihat tanpa ada apa-apa komplikasi dari pembedahan tempoh hari

Semoga mak ayah terus diberi kekuatan, dan dipermudahkan semua urusan selepas ini. Amiiinnnn..

Kepada sahabat-sahabat semua
Kalau ada masa dan peluang, berkhidmatlah untuk ibu ayah selagi mereka masih ada.
Tak rugi kita bersusah payah untuk mereka, sebab di situlah keberkatan hidup.
Tak ada “booster” dalam hidup yang lebih mujarab dari doa dan redha mereka

Mak, ayah…ampunkan dosaku. Maafkan segala kekuranganku sepanjang menjaga di sini, terima kasih kerana terus mendoakan kami sekeluarga

Doakan anakmu ini berjaya capai cita-cita,
jadi anak soleh, ketua keluarga yang baik, yang boleh bawa kita semua ke syurga

03/05/2025

Saya dapat soalan yang panjang di ruangan komen, kita cuba jawab dlm 1 video.

Terima kasih sebab bertanya. Soalan ni mungkin menyelamatkan orang lain juga.

Kalau anda rasa bermanfaat, silakan hare video ni.






Pertandingan Catur Pertama Umar AlfaruqHari ini awal-awal pagi dah keluar rumah. Belikan sarapan untuk semua orang, term...
03/05/2025

Pertandingan Catur Pertama Umar Alfaruq

Hari ini awal-awal pagi dah keluar rumah. Belikan sarapan untuk semua orang, termasuk atok dengan opah yang ada di wad, terus pecut ke Maran untuk temankan anak lelaki sulung saya yang berumur 11 tahun ke Tournament Chess pertamanya, secara bersemuka! Fuh, abi yang excited sebenonya, haha!

Sebelum ni dia hanya main chess online je, lawan bot, di website Lichess, dan kadang-kadang main dengan kawan-kawan di sekolah.
Tapi kali ni lain. Duduk depan lawan sebenar. Bertentang mata. Pakai jam 'timer' yang tekan-tekan lepas setiap 'move' tu. Terasa suasana dalam tekanan. Ini pengalaman baru. Barulah cabaran!

Dia ni budak yang aktif dari kecik. Memang tak reti duduk diam. Masa umur 6 tahun dulu, sebab terlalu aktif sangat sampai kadang-kadang mengacau kawan-kawan, abi masukkan dia ke kelas taekwando. Sekarang ni, dalam taekwando tu pon dia dah jadi 'taiko' dah, dah jadi abang besar. Dah tak rasa cabaran sangat. Jadi kita cuba chess p**ak.

Belajar main chess dan masuk bertanding ni bukan nak menang sangat pon sebenarnya. Bukan nak jadi juara dunia. Tapi saya nak dia belajar :
1. Berfikir.
2. Merancang.
3. Menganalisis.

Sebab setiap langkah dalam catur tu ada sebab dan akibat. Macam dalam hidup. Berani buat berani tanggung. Kalau mendatangkan fitnah, jangan buat. Kalau tak bermanfaat, tinggalkan. Jangan buang masa, jangan bazir tenaga melainkan untuk "long term effect" yang menguntungkan.

Main catur ni mengajar dia untuk sabar. Kasi slow sikit pace dia. Asyik laju je nak ke mana, ye dak? Hehe...
Dia perlu fikir dua tiga langkah ke hadapan. Perlu tahu bila perlu menyerang, bila perlu bertahan. Dan paling penting, bila kalah — belajar bangun balik dan belajar dari yang lebih hebat. Sebab nak jadi hebat, kita kena selalu tengok dan tiru orang hebat. Itulah resam dunia

Harapnya satu hari nanti dia akan ingat:
"Abi ajar main chess bukan untuk jadi juara, tapi untuk jadi bijak dalam buat keputusan hidup."
Eceh, poyo p**ak bunyinya. Hahaha!

Penat betul menunggu dia ni. Nak balik rumah dulu, kesian p**ak dia kalau datang lambat nanti. Takpelah, abi berkorban untuk anak abi

Semoga jadi anak soleh bijak berjaya dunia akhirat.
Amiin..

02/05/2025

Ramai orang bukan degil… mereka cuma takut.
Dan bila takut, kita bukan perlu operation,
Kita perlukan penerangan!

Tag kawan-kawan korang, MO, HO, jururawat, mak ayah, pakcik makcik, dan siapa saja yang perlu dengar ni.





Tak kisah siapa anaknya, mak tetap mak...Mak saya akhirnya didiagnos sebagai End Stage Renal Failure (ESRF).Sebelum ni s...
01/05/2025

Tak kisah siapa anaknya, mak tetap mak...

Mak saya akhirnya didiagnos sebagai End Stage Renal Failure (ESRF).
Sebelum ni setiap kali follow up kat klinik kesihatan, doktor akan terus tanya:

“Makcik, bila nak buat tapak?”

Bukak pintu je terus soalan tu yang ditanya. Makcik tak sempat duduk pon lagi. Takde introduction, takde trailer takde preview apa semua, tiba-tiba dia bagi spoiler! Tiba-tiba suruh buat tapak.

Memanglah makcik jadi defensive. Terkejut la dia. Confirm la di tak nak buat. Tak nak cuci darah. Apa jadi pon, tak nak!

Saya pun sebagai anak, hanya mampu membantu mana yang boleh. Kita faham, kalau kita jadi pesakit pon kita akan rasa sedih, kecewa, takut, dan macam-macam lagi perasaan. Tak adil untuk kita paksa pesakit ikut semua cakap kita on the spot. Bagilah mereka sedikit ruang dan masa...

Kali ni mak betul-betul sakit, tak sihat. Ayah pon jadi risau. Ayah sampai nekad nak bawak mak ke hospital di pahang, sebab dia tahu anak dia akan bantu mak dia sebaik mungkin di sini.

Acidosis mak teruk, urea dan creatinine mencanak naik, nafas pon laju (akibat acid yang tinggi dalam darah -'acidosis breathing')

Mak akhirnya masuk hospital, terpaksa untuk emergency dialysis, dan sekarang sudah mula regular dialysis (HD). Alhamdulillah, mak faham dan akur nasihat anak doktornya yang sorang ni. Kalau anak dia bukan doktor, mungkin silap-silap dah mintak balik dah, mungkin hanya 'terima takdir' di rumah.

Saya doakan semua yang membaca diberikan kemudahan membantu makayah yang sudah meningkat usia lanjut, agar kita sama-sama dapat berbakti buat mereka sebaik-baiknya. Kita tak tahu siapa yang akan menemui ajal dahulu, mungkin kita pergi dulu. Tapi kalau kita berpeluang berkhidmat sehingga ke usia akhir mereka, biarlah itu jadi tiket kita untuk ke syurga.
Nanti kita sekeluarga reunion semula di 'sana' ya, insyaallah, Amiiinnn!!!

Tolong doakan mak saya. Doakan juga saya terus focus dan semangat untuk siapkan thesis, kerja sambil belajar dengan baik, mampu mengurus keluarga, isteri dan anak-anak saya, dan bersedia juga untuk final exam tahun depan.

Saya tahu saya bukan anak terbaik,
Tapi saya cuba buat yang terbaik…

Insyaallah, all is well

Address

Jalan Jaya 8/4, Taman Jaya 8
Temerloh
28000

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Dr Fradzi Channel posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Practice

Send a message to Dr Fradzi Channel:

Share

Share on Facebook Share on Twitter Share on LinkedIn
Share on Pinterest Share on Reddit Share via Email
Share on WhatsApp Share on Instagram Share on Telegram

Category